Terdapat aura positif mengenai Freiburg dan penduduknya. Mereka ceria, ramah dan tidak pernah malu untuk mengukir senyuman di wajah tidak kira siapa anda. Ianya sebuah bandar kecil dengan rasa bangga di kalangan penduduknya. Mereka juga tunjang kepada sebuah pasukan iaitu SC Freiburg.
Untuk sebuah pasukan kecil dari Utara Jerman, untuk kekal di Bundesliga bukan tugas mudah, terutamanya dengan pasukan gergasi lain yang berbelanja besar bagaikan tiada penghujung. Selepas sekian lama bergelut untuk kekal dan naik divisyen, Freiburg telah berjaya kekal beraksi di Bundesliga sejak tahun 2009, dengan hanya tersingkir sekali pada tahun 2014.
Kelab Jerman tidak mempunyai kekuatan kewangan seperti pasukan di Liga Perdana Inggersi, dan perbezaan kewangan menjadi lebih jelas jika kita melihat pasukan kecil seperti Freiburg. Dalam dunia yang dikuasai pasukan seperti Real Madrid, Manchester United dan Barcelona yang mampu memecahkan rekod perpindahan pemain dunia seperti membeli gula-gula di kedai runcit, pasukan seperti Freiburg beroperasi dengan sumber kewangan yang sederhana – di mana perpindahan pemain termahal mereka adalah Vladimír Darida pada tahun 2013, di mana mereka membayar €4 juta untuk membelinya.
Bagaimana mereka melakukannya? Ianya tidak sukar sebenarnya. Untuk permulaan, Freiburg tidak mengeluarkan wang sewenang-wenangnya. Seperti dijelaskan AP dalam satu artikel pada tahun 2014, semua pelatih di kelab berkenaan dibayar gaji yang sama – hanya 250 Euro setiap bulan, tidak mengira umur dan bakat. Bahkan, pengerusi Freiburg turut menyatakan bahawa hanya 40 peratus dari keuntungan kelab digunakan untuk membayar gaji pemain – sesuatu yang gila jika anda bandingkan dengan kelab lain di Eropah. Namun, ianya menjadi satu formula yang sesuai untuk mereka. Dan ia menjadi satu formula yang sama yang cuba digunakan untuk memulakan satu revolusi di sebuah negara 10,027 kilometer jauh dari Jerman. Iaitu di Malaysia.
Sudah penat dengan pasukan negeri yang dibiaya ahli politik, jabatan kerajaan dengan agenda tersendiri, badan pentadbir bola sepak yang seakan malas untuk melaksanakan plan jangka masa panjang dan sistem yang terus menghalang pembangunan pemain muda, tujuh peminat bolasepak mengambil keputusan untuk menubuhkan pasukan mereka sendiri. Shah Alam Antlers FC (SAAFC) telah ditubuhkan, dengan tujuan utamanya untuk menjadi pasukan bolasepak komuniti di bandar Shah Alam – dan corak pengurusan SC Freiburg menjadi pelan jangka masa panjang mereka.
Kelab tersebut pertama kali diperkenal di media sosial bulan lalu, dan dalam masa 12 hari, berjaya mengumpul 5,000 likes di Facebook – satu pencapaian yang tidak boleh dipandang rendah. Apabila sudah dikenali, Shah Alam Antlers dengan pantas menjelaskan visi dan perancangan mereka kepada umum.
Secara asas, kelab ini ditubuhkan untuk menjadi kelab untuk komuniti, yang akan mementingkan penyokong lebih daripada perkara lain. Secara jujur, saya sangat merasa kagum dengan usaha mereka dan mengambil keputusan untuk turut ke Stadium Panasonic – ‘home ground’ SAAFC – untuk berbual bersama penggerak kelab ini.
SIAPA TUNJANG UTAMA DI BELAKANG SHAH ALAM ANTLERS FC
Semua orang boleh menubuhkan pasukan mereka sendiri. Saya dan rakan-rakan saya pernah menubuhkan satu pasukan bolasepak ketika berusia 14 tahun dahulu yang bernama Radical Allianz- tapi itu saya akan ceritakan di lain hari. Namun, bagi SAAFC, mereka mempunyai satu pasukan penggerak yang hebat, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ahmad Yani Ismail.
“Kami mempunyai pasukan yang bagus, dan mereka semua mempunyai kebolehan untuk memberikan sumbangan dari cara yang berbeza. Sebagai contoh, Ahmad Sufian, presiden kami, merupakan seorang penyokong bolasepak tempatan sejak sekian lama dan tahu segalanya mengenai budaya penyokong di Malaysia. Saya mempunyai pengalaman lapan tahun dalam pemasaran sukan. Kami juga mempunyai Kamaru Akhir, yang mengurus Asiana.my dan mempunyai pengalaman bertahun di dalam kewartawanan sukan. Kami juga mempunyai seorang peguam berpengalaman, yang akan menjaga aspek undang-undang yang berkaitan dalam menguruskan kelab bolasepak,” katanya kepada FourthOfficial.com.
“Mizal Ghazali sebelum ini bersama Frenz United dan tahu bagaiman untuk mengendalikan satu platform untuk pemain muda yang berjaya. Kemudian kami mempunyai Ahmad Muzzamil dan Shahrir Bahar dari SemuanyaBOLA.com dan mereka akan mengetuai pasukan media sosial, di mana kami amat ambil berat kerana ianya penting sebagai medium berhubung bersama komuniti. Reza Khalid adalah raja pentadbiran kami, dan dialah hero sebenar di sebalik apa yang anda lihat mengenai Shah Alam Antlers sekarang.”
KENAPA SC FREIBURG?
Walaupun nama mereka seakan sama, tapi kelab Shah Alam ini tiada kaitan langsung dengan kelab dari J. Leaguem Kashima Antlers. Logo di Majlis Bandaraya Shah Alam mempunyai tanduk rusa, dan ini memberi idea kepada pengurusan SAAFC untuk meletakkan tanduk rusa di logo dan nama mereka. Mereka juga menjadikan Freiburg sebagai inspirasi mereka. – sesuatu yang mahu diulas Yani.
“Ramai orang melihat kelab bolasepak hanya dari sudut kemenangan dan piala. Tetapi itu bukan tujuan utamanya. Jika kami boleh menarik lebih ramai penduduk Shah Alam untuk bersama kami dan bantu mereka mempunyai rasa kepunyaan kepada tempat itu, menerusi aktiviti komuniti, maka kami lebih dari gembira untuk beraksi di liga bawahan bolasepak Malaysia.”
“Kita ambil contoh Freiburg. Mereka pasukan kecil dan tidak mencuba untuk berbelanja melebihi bajet mereka untuk kejayaan singkat. Mereka melihat pada jangka masa panjang, dan apa yang penting, mereka mengutamakan penduduk di sekitar mereka. Kelab ini mesra alam sekitar, stadium mereka menggunakan kuasa solar, penduduk Freiburg mempunyai rasa kekitaan pada kelab itu, dan keputusannya, mereka tidak terlalu obses untuk menewaskan Bayern Munich dan Borussia Dortmund setiap tahun,” jelas Yani.
Namun, sudah tentu perlu ada keseimbangan dari segi kepentingan masyarakat dan mengejar kejayaan. Kejayaan Freiburg untuk naik semula ke Bundesliga, setahun selepas tersingkir pada tahun 2014, menunjukkan mereka tahu apa yang penting dan seimbang.
APA YANG SEDANG BERLAKU SEKARANG?
Selepas merancang beberapa bulan SAAFC telah melantik bekas pemain Kuala Lumpur dan Sarawak Muthu Gopalan, sebagai ketua jurulatih. Jurulatih berusia 40 tahun itu juga merupakan pembantu jurulatih di Sime Darby FC, ketika mereka menang Piala FAM pada tahun 2010. Mereka turut melantik pengarah teknikal iaitu Massimo Gianelli, yang turut menguruskan akademi bolasepak yang diberi nama Football Talent Asia (FTA). Kedua-duanya akan berkerja bersama-sama untuk membangunkan bolasepak di SAAFC.
Kemudian, SAAFC menjalankan pemilihan pemain terbuka, yang berlangsung hujung minggu lalu. Mereka sebenarnya menjangkakan hanya sekitar 100 orang akan hadir, namun promosi SAAFC di media sosial menyebabkan berita tersebut tersebar dan sekitar 500 orang hadir pada hari Ahad, dan mengejutkan mereka.
Skuad 25 pemain akan diputuskan tidak lama lagi, dan skuad Antlers akan bersiap untuk mewakili daerah Petaling dalam Liga Bolasepak Rakyat. Namun, LBR bukanlah sasaran utama mereka, seperti yang dijelaskan Yani.
“Tujuan utama kami adalah Liga Selangor. Kami mahu beraksi baik di sana dalam tempoh beberapa tahun dan membesar supaya layak untuk menyertai Piala FAM dan bersaing di sana. LBR hanya satu aksi pra-musim untuk kami menguji skuad kami dan menilai kekuatan dan kelemahan kami. Apabila LBR tamat pada bulan Disember, kami seharusnya sudah bersedia untuk musim baru Liga Selangor 2017,” tambahnya.
Buat sementara waktu, laman sendiri SAAFC adalah Stadium Panasonic Shah Alam, hasil kerjasama di antara mereka dan sebuah syarikat yang menguruskan stadium berkenaan – Shoot & Score. Ianya sebuah stadium mini yang mempunyai kapasiti 400 orang dan Yani merasakan ia sesuai untuk mereka. “Kami pasukan kecil dan mahu bermula kecil. Jadi stadium ini sesuai untuk kami, buat masa sekarang,” jelasnya.
APA SASARAN JANGKA MASA PANJANG SAAFC?
Dalam masa terdekat, kelab ini akan cuba melancarkan pelan keahlian pertama mereka. Namun, selepas itu mereka melihat untuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi dan syarikat, bagi memastikan SAAFC akan dapat mengandakan pelbagai projek masyarakat untuk penduduk Shah Alam. Bahkan, Yani mendakwa bahawa kelab berkenaan sudah bersedia untuk menggerakkan perancangan melibatkan jualan, penajaan, keuntungan syarikat, termasuk branding, sebaik mereka menerima status LLP.
“Sasaran utama kami adalah untuk meletakkan SAAFC sebagai pemimpin masyarakat, sambil disokong nilai utama yang kami mahukan. Walaupun kami mahu menguruskan pasukan bolasepak yang berjaya, kami mahu mementingkan prose’s menguruskan sebuah kelab bolasepak yang merangkumi semua. Ini bermakna SAAFC bukan hanya milik Melayu di Shah Alam. Ianya untuk semua orang di Shah Alam, termasuk bangsa Cina, India dan semua bangsa. Kami mahu semua orang merasakan mereka sebahagian dari pasukan- itu keutamaan kami.
”Untuk sampai di tahap itu, kami perlu bersedia untuk menjalankan semua pelan yang perlu dan strategi yang telah kami bangunkan serta rancang dalam tempoh beberapa bulan lalu. Bila kita fikirkan, Shah Alam merupakan lubuk emas kepada pelbagai industri. Apa yang kami perlu buat adalah memberikan mereka pulangan kepada pelaburan mereka dan kami akan dapat menarik mereka. Apabila status LLP disahkan, kami bersedia untuk bergerak,” tambah Yani.
ADAKAH IANYA AKAN BERJAYA?
Melihat kepada SAAFC yang ditubuhkan peminat untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah bolasepak Malaysia, soalan utamanya adalah, adakah ianya akan berjaya? Bagi penggerak di belakang tabir SAAFC, mereka tidak memikirkannya. Tiada seorang pun dari mereka yang mendapat keuntungan dari inisiatif ini – untuk sekarang sekurang-kurangnya – dan semangat menjadi penggerak kepada apa yang mereka lakukan buat masa sekarang.
Namun sebagai seorang ahli pemasaran berpengalaman, Yani tahu semangat bukan satu-satunya perkara yang perlu ada untuk menguruskan kelab bolasepak. Dan seperti yang ditunjuk olehnya, rasa rendah diri kelab ini akan menjadi punca kepada kebolehan mereka untuk berevolusi kepada penyelesaian jangka masa panjang.
“Begini, tiada perubahan akan berlaku di Malaysia jika kita terus menuju ke arah yang kita sedang tuju sekarang. Namun kami tidak mahu mengeluh. Sebaliknya, kami mahu mencari penyelesaian kepada masalah ini. SAAFC hanya satu kelab kecil untuk masa sekarang, dan kami tiada perancangan untuk membuat langkah besar dalam tempoh beberapa tahun.
”Untuk kami, semuanya berkenaan kestabilan, ianya berkenaan perkembangan kewangan dan juga untuk masyarakat. Membesar dari segi saiz akan mengambil masa, memenangi hati peminat bolasepak di Shah Alam akan mengambil masa, dan menyatukan penduduk dari segenap bangsa dan agama juga akan mengambil masa.
”Tapi itu yang membezakan kami dari yang lain. Kami bersedia untuk menunggu; kami bersedia untuk membesar dengan perlahan. Kejuaraan itu penting, tetapi masyarakat dan penyokong lebih penting. Itu akan menjadi DNA kelab kami,” simpulnya.
Penduduk Shah Alam, apa pendapat anda mengenai inisiatif ini? Adakah anda menyokong? Anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai SAAFC? Beritahu kami dengan memberi komen di bawah!
Other posts by Khairul Nizam