Football

Ong Kim Swee akhirnya dapat skuad penuh untuk sesi latihan

Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee akhirnya dapat memulakan sesi latihan dengan skuad penuh menjelang pertemuan skuad negara dengan Singapura Jumaat ini.

Pada hari Isnin, skuad seramai 30 pemain memulakan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. Pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kedah, PDRM dan T-Team tidak dapat melaporkan diri awal kerana terlibat dalam saingan Piala Malaysia.

Tiga pemain JDT II – Mohd Irfan Fazail, Darren Lok dan Mohd Zaquan Adha – turut melaporkan diri untuk fasa kedua latihan pusat. Dua pemain yang baru dipanggil adalah pertahanan tengah Shahrom Kalam (Selangor) dan Khairul Helmi Johari (Kedah) – turut serta dalam sesi latihan.

“Bagus kerana semua pemain sudah ada untuk sesi latihan sekarang. Namun, ianya terlalu awal untuk memberi ulasan mengenai tahap kecergasan mereka kerana ini baru sesi latihan pertama,”kata Kim Swee.

“Kami hanya mempunyai tiga hari lagi sebelum perlawanan jadi kami akan fokus kepada persiapan taktikal. Kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Singapura akan dipilih berdasarkan persembahan pemain dalam tiga hari ini,” tambahnya.

Selepas perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Singapura, Malaysia akan bertemu Afghanistan dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Kim Swee akan menggunakan dua perlawanan tersebut sebagai persiapan Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung pada 19 November-17 Disember. Malaysia berada di dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan pasukan dari pusingan kelayakan.

Other posts by