Pelari negara, Siti Noor Iasah Mohamad Arifin menduduki tempat keempat dalam acara 400m wanita kategori T20 di Sukan Paralimpik Rio awal pagi ini.
Siti Noor Iasah memulakan larian dengan cemerlang namun dipotong pada saat akhir oleh pelari Poland Barbara Niewiedzal. Siti Noor Iasah mencatatkan masa larian 58.55 saat.
Pelari Amerika Syarikat, Breanna Clark merangkul pingat emas dengan catatan masa 57.79 saat, sementara pelari Ukraine Natalia Iezlovetska merangkul pingat perak dengan catatan masa 58.48 saat. Barbara Niewiedzal mencatatkan masa 58.51 saat.
Sebelum itu, seorang lagi atlit Malaysia, Jong Yee Khie beraksi dalam acara powerlifting -97kg. Jong Yee Khie menamatkan saingan dengan menduduki tempat ketujuh daripada 11 peserta. Jong Yee Khie berjaya mengangkat berat 202 kg dalam percubaan pertama namun tidak berjaya memperbaiki angkatannya di percubaan kedua dan ketiga. Peserta Mesir Eldib Mohamed merangkul pingat emas selepas berjaya mengangkat 237kg, pingat perak pula dirangkul Qi Dong dari China dengan berjaya mengangkat 233kg dan peserta Mexico Castillo Jose de Jesus merangkul pingat gangsa dengan mengangkat 229kg.
Seorang lagi wakil Malaysia yang beraksi adalah Hasihin Sanawi yang beraksi dalam acara recurve Individu. Dia tewas kepada peserta Poland, Piotr Sawicki 6-0 sekaligus tersingkir di pusingan penyingkiran.
Other posts by Khairul Nizam