Atlit memanah negara Hasihin Sanawi mengakui ianya sukar untuk mencipta kejayaan kedua berturut untuk menaiki podium di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.
Namun, itu tidak akan menghalangnya untuk terus mencuba.
Di Sukan Paralimpik London empat tahun lalu, Hasihin hanyalah seorang atlit muda di bawah program Majlis Sukan Negara apabila dia merangkul pingat perak- menamatkan saingan dengan hanya satu mata di belakang pemanah Itali, Oscar De Pellegrin dalam kategori W1 (kerusi roda).
Hanya kategori terbuka akan dipertandingkan di Rio dalam acara Recurve kali ini.
“Ianya akan menjadi sukar kerana akan berdepan atlit yang berdiri.
“Sebelum ini, mereka dalam acara berasingan…oleh itu, ianya agak sukar untuk bertanding di pusingan penyingkiran.
“Ianya sukar, tetapi saya akan fokus pada diri saya sendiri. Saya tidak kisah mengenai keadaan pesaing saya, dan harapannya, saya akan mara jauh,” kata atlit berusia 33 tahun itu.
Namun, keadaan tidak pernah datang dengan mudah untuk Hasihin, yang tau nilai kerja keras dan berterusan.
Datang dari keluarga yang bergelut dari segi kewangan, Hasihin berhenti dari sekolah di usia 12 tahun.
Dia berkerja di sektor pembinaan ketika meningkat remaja, namun hidupnya berubah apabila terlibat dalam satu kemalangan pada tahun 2005.
Hasihin sedang berkerja di tingkat atas bangunan yang dibinanya apabila dia terjatuh dan patah tulang belakangnya.
“Saya lumpuh dari pinggang ke bawah dan merasa sedih dan tidak berguna.
“Saya bernasib baik apabila doktor menggalakkan saya bersukan dan merujuk saya kepada kelab memanah.
“Saya memang sentiasa minat bersukan berbanding buku…walaupun ketika kecil. Saya pergi menjalani ujian dan bernasib baik kerana mendapat peluang menyertai program memanah.
“Saya berada dalam program tersebut kurang dua tahun sebelum pulang dengan pingat perak dari London,” kata beliau.
Hasihin juga gembira apabila kerajaan mengiktiraf sumbangan atlit para.
Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara, pemenang pingat emas di Paralimpik Rio akan mendapat RM 1 juta. Pemenang pingat perak akan mendapat RM300,000 dan gangsa RM 100,000.
Pemenang pingat juga akan mendapat elaun seumur hidup bernilai RM5,000 (emas), RM 3,000 (perak) dan RM 2,000 (gangsa).
“Kami berkerja keras ketika latihan (sama seperti atlit biasa) dan mahu mengharumkan nama negara.
“Saya harap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan yang sama seperti ketika Olimpik,” kata beliau.
Other posts by Khairul Nizam