Football

Perlawanan menentang Indonesia medan ujian untuk Piala AFF Suzuki

Perlawanan pertama Indonesia selepas penggantungan FIFA akan menjadi medan ujian untuk skuad Malaysia yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki pada 19 November-17 Disember.

Malaysia yang berada di kedudukan 167 dunia akan berdepan pasukan di tangga ke 191 dunia, Indonesia, yang membuat penampilan semula dalam perlawanan antarabangsa selepas digantung setahun akibat penglibatan kerajaan Mei lalu, di Stadium Manahan, Solo hari ini.

Perlawanan ini sememangnya bakal menjadi tumpuan selepas kemenangan Harimau Malaysia ke atas Indonesia- di saingan Piala AFF Suzuki dan perlawanan akhir Sukan SEA 2009 – sentiasa menjadi ingatan skuad Garuda.

Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee berkata beliau mempunyai harapan tinggi supaya perlawanan berlangsung aman dan merasakan Indonesia akan menjadi lawan yang sukar walaupun sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa akibat penggantungan FIFA.

“Kami mahu menang perlawanan ini tetapi itu bukan perkara paling utama buat saya…fokus saya adalah untuk pemain saya serasi dan bermain sebagai satu pasukan,” kata Kim Swee dalam sidang media pra-perlawanan di Solo.

“Saya rasa Indonesia masih mempunyai skuad yang baik walaupun baru kembali dari penggantungan FIFA. Pemain mereka bermain dalam Liga Indonesia dan akan berusaha sebaik mungkin dalam perlawanan antarabangsa pertama mereka.

“Keadaan penyokong di Indonesia akan memberikan kami gambaran untuk apa yang kami boleh jangkakan apabila menentang tuan rumah Myanmar di Piala AFF Suzuki tetapi saya harap peminat bolasepak boleh menikmati perlawanan bolasepak berkualiti tanpa sebarang masalah.”

Kecederaan dan persaraan beberapa pemain tonggak membuatkan bahagian pertahanan skuad Kim Swee sedikit lemah.

Persaraan pertahanan kanan S. Kunanlan dan pertahanan tengah Aidil Zafuan Razak dan kecederaan kepada pertahanan tengah Shahrom Abdul Kalam, pertahanan kiri Fazly Mazlan dan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan meninggalkan pasukan dengan hanya seorang pemain utama di pertahanan tengah iaitu Mohd Fadhli Shas untuk dipilih.

Selain Fadhli, pilihan lain untuk Kim Swee dalam perlawanan persahabatan ini adalah pemain baru – Azrif Nasrulhaq, Matthew Davies, Shahrul Saad, Amer Saidin, Ronny Harun dan Khair Jones.

Indonesia akan mempunyai tiga pemain luar negara mereka – penyerang Irfan Bachdim (Consadole Sapporo), pemain sayap Andik Vermansyah (Selangor) dan pertahanan Dedi Gusmawan (Zayar Shwe Myay) – untuk dipilih dalam perlawanan ini.

Namun, skuad Garuda kehilangan penjaga gol utama mereka Kurnia Meiga akibat kecederaan.

“Saya dengan Meiga tercedera. Itu berita baik untuk kami tetapi saya yakin Indonesia mempunyai pengganti beliau,” tambah Kim Swee.

Other posts by