Others

Ziyad sasar emas di Paralimpik Rio

Atlet lontar jauh Paralimpik negara, Muhd Ziyad Zolkefli akan cuba memberikan lontaran paling jauh dalam hidupnya di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro yang akan berlangsung pada 7-18 September ini.

Ziyad akan bertanding dalam acara lontar peluru lelaki kategori F20 pada hari Sabtu ini dan mahu memecahkan rekod dunia sekaligus mencatat sejarah emas untuk Malaysia dalam Sukan Paralimpik.

Lontaran terbaik Ziyad setakat ini adalah 16.55m yang dilakukannya dalam satu kejohanan di Jerman awal tahun ini. Jarak itu sudah hampir dengan rekod dunia yang dicatat oleh atlit Australia Todd Hodgetts iaitu 16.59m.

“Saya sudah mencatat lontaran lebih 16m secara konsisten tahun ini. Jika saya boleh melepasi catatan 17m, ianya sudah cukup untuk memenangi pingat, dan harapannya, emas.

“Dan sebenarnya saya pernah mencatatkan jarak 17.2m di Jerman, tetapi ia hanya dalam sesi latihan. Kunci untuk saya adalah untuk bertenang dan menikmati temasya ini,” ujar Ziyad, pemegang pingat gangsa untuk Malaysia di Sukan Paralimpik London 2012.

Ziyad juga merangkul pingat gangsa di Kejohanan Olahraga IPC Dunia di Doha, Qatar, tahun lalu. Pada tahun 2013, Ziyad merupakan pemenang pingat emas dalam kejohanan yang sama di Lyon, Perancis.

“Saya tidak mencatakan jarak yang saya harapkan di Doha. Saya hanya berjaya mencatat jarak 15.45m, namun saya bersyukur kerana masih berjaya merangkul pingat gangsa. Kini, saya lebih bersemangat untuk melakukan yang lebih baik di Paralimpik,” jelas anak jati Gombak, Selangor ini.

Bukan Ziyad seorang sahaja yang memikul harapan negara untuk memenangi pingat emas pertama di Rio.

Harapan turut diletakkan kepada atlit lompat jauh F20 Abdul Latif Romly dan pelari pecut T36 Mohd Ridzuan Mohamad Puzi untuk membawa kejayaan kepada Malaysia selepas kedua-dua mereka merangkul pingat emas dalam Kejohanan Dunia di Doha.

Other posts by