Cycling

“Saya semakin kuat” – Umur bukan penghalang untuk Azizulhasni Awang

Umur bukan penghalang untuk pemenang pingat gangsa Olimpik acara berbasikal Azizulhasni Awang.

Pelumba legenda Britain Chris Hoy menjulang pingat emas acara keirin di London empat tahun lalu ketika berusia 36 tahun, dan itu menjadi peringatan kepada Azizul bahawa cabaran seterusnya di Olimpik Tokyo 2020 tidak mustahil.

“Saya mahu ke Olimpik keempat saya dau Tokyo. Ketika Olimpik pertama saya pada tahun 2008, saya mendapat tempat ke-10. Di London empat tahun lalu, saya berjaya ke final dan mendapat tempat keenam. Kini saya dapat pingat gangsa. Saya sedang meningkat dan akan cuba untuk mendapat pingat emas di Tokyo,” kata Azizul, yang menambah bahawa tahun hadapan dia akan menumpukan perhatian untuk menamatkan pengajian.

Pelumba berusia 28 tahun itu menangguhkan pengajian tahun akhirnya dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Victoria, Melbourne untuk penampilannya di Olimpik.

“Saya sepatutnya bertanding di Piala Dunia (Siri) dan Kejohanan Dunia tahun hadapan tetapi itu tidak akan menjadi fokus utama.

“Mungkin selepas tamat pengajian, saya akan memberikan lebih perhatian.”

Azizul akan berusia 32 tahun menjelang Olimpik seterusnya namun dia yakin akan dapat mengekalkan daya saingnya.

“Saya tidak nampak tanda-tanda saya semakin perlahan atau lemah. Bahkan, saya semakin kuat dan bagus setiap tahun,” tambah beliau.

Azizul menjadi pemenang pingat Olimpik acara berbasikal pertama negara apabila dia memecut untuk memenangi pingat gangsa di acara keirin di belakang pelumba Belanda Matthijs Buchli dan pelumba Britain Jason Kenny di Rio minggu lalu.

Other posts by