Bergu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akhirnya berjaya merangkul gelaran antarabangsa pertama mereka apabila muncul juara di Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam.
Bergu negara itu yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, berjaya menumbangkan pilihan keempat kejohanan, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika dari Indonesia 21-16, 21-11 dalam masa 35 minit.
Kemenangan ini menamatkan penantian mereka untuk merangkul kejuaraan antarabangsa selepas kempunan di Malaysian Masters, Kejohanan Antarabangsa Poland dan Terbuka Taiwan tahun ini.
Kian Meng dan Pei Jing yang baru digandingkan akhir tahun lalu, merupakan gandingan kedua Malaysia selepas Chang Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan beraksi di Sukan Olimpik nanti.
Kian Meng sangat gembira dengan kemenangan tersebut dan merasa mereka bermain dengan lebih baik berbanding ketiga menang 23-21, 21-19 ke atas Hafiz Faisal – Shella Devi Aulia dari Indonesia ketika separuh akhir pada hari Sabtu.
“Kami tidak menyerah kalah. Mungkin pihak lawan kami gementar hari ini,” ujar Kian Meng yang mendedikasikan kemenangan ini kepada bapanya Tan Poh Kok yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-57 pada 20 Julai.
“Saya mahu berterima kasih kepada bapa saya kerana menyokong saya selama ini. Walaupun ini bukan kejohanan besar, tetapi ini adalah gelaran antarabangsa pertama saya. Saya pasti dia akan rasa sangat gembira.
“Saya mahu terus berkerja keras dan memberikan lebih banyak gelaran kepadanya,” tambah beliau.
Malaysia sepatutnya boleh muncul pemenang terbesar dalam kejohanan tersebut, tetapi pemain bebas Chong Wei Feng dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas di final.
Pemenang pingat emas Sukan SEA, Wei Feng tewas kepada pemain pilihan keempat dari Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki, 12-21, 13-21 dalam final perseorangan lelaki.
Kien Keat-Boon Heong pula tewas kepada pilihan kedua dari Taiwan, Lee Jhe-huei – Lee Yang, 21-18, 14-21, 7-21.
Other posts by Khairul Nizam