Selepas menunjukkan aksi mengecewakan di Kejohanan Remaja Asia di Bangkok, Malaysia perlu menilai semula setiap pemain.
Malaysia hanya mampu memenangi pingat gangsa menerusi bergu lelaki Ooi Zi Heng- Soh Wooi Yik yang menewaskan bergu China Han Chengkai-Zhou Haodong di separuh akhir pada hari Sabtu.
Juara remaja dunia Goh Jin Wei gagal melepasi peringkat suku akhir perseorangan wanita selepas gagal mengatasi tekanan ketika berdepan pemain Korea Selatan Kim Ga-eun sekaligus meranapkan impian Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama tiga tahun.
“Pemain kita bermain mengikut standard mereka tetapi ianya tidak mencukupi. Mereka kekurangan sentuhan penyudah apabila ianya diperlukan,” jelas pengurus pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kwan Yoke Meng.
“Ini perbezaan di antara pemain kita dengan pemain hebat dari China, Korea Selatan dan Indonesia. Pemain dari negara-negara ini boleh menang walaupun diberikan tekanan.
“Banyak lagi tugas untuk kami. Kami perlu tingkatkan kekuatan fizikal pemain, kepantasan dan mengekalkan tenaga.
“Kami berharap akan ada peningkatan apabila mereka bertanding di Kejohanan Remaja Dunia (di Bilbao, Sepanyol, dari 2-13 November),” tambah Yoke Meng.
Sementara itu China meneruskan penguasaan mereka apabila menyapu bersih kesemua lima gelaran menerusi bergu lelaki dan wanita sebelum ini, Sun Feixiang (perseorangan lelaki), Chen Yufei (perseorangan wanita) dan He Jiting-Du Ye (bergu campuran)
Other posts by Khairul Nizam