Rekod kebangsaan dalam acara 100m lari pecut yang dipegang oleh bekas pelari negara Watson Nyambek selama 18 tahun dijangka boleh dipecahkan di lamannya sendiri menjelang Sukma ke-18 di Sarawak.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron percaya, pelari pecut dari negeri berkenaan akan mencipta kejutan dalam acara 100m dan 4x100m dalam temasya berkenaan yang akan berlangsung dari 22-31 Julai.
“Kami berharap dapat mencipta kejutan dalam acara balapan, terutamanya rekod 100m pecut lelaki yang dipegang oleh Watson Nyambek setelah sekian lama dan acara 4x100m,” kata beliau kepada wartawan selepas Majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Sukma Melaka di Majlis Sukan Negeri, semalam.
Idris berkata Melaka akan menghantar seramai 227 orang atlet untuk bertanding dalam 22 dari 24 acara yang dipertanding.
“Sasaran kami adalah untuk meraih 25 pingat emas. Selain atlet, 39 orang jurulatih, 23 pengurus pasukan, 34 pegawai dan 10 orang pegawai pengiring akan bersama dalam kontinjen,” jelas beliau.
Fokus utama untuk acara pecut pastinya kepada pelari muda negara Badrul Hisyam Abdul Manap, yang hampir memecahkan rekod Watson (10.30s) di Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah ASEAN apabila mencipta rekod 10.29, namun ianya tidak dikira kerana terdapat kesilapan teknikal oleh pihak penganjur.
Other posts by Khairul Nizam