Cycling

Azizul dan Fatehah korbankan Hari Raya demi Olimpik

Pelumba basikal negara Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa akan mengorbankan sambutan hari raya yang bakal menjelang bersama keluarga tercinta bagi meneruskan latihan mereka di Portugal.

Kedua-dua pelumba dari Terengganu itu akan mewakili Malaysia dalam acara berbasikal trek dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro bulan hadapan, akan menjalani latihan selama sebulan di National Velodrome di Anadia, Portugal.

Azizul yang berkahwin dengan Athiah Ilyana Abd Samat sejak 2010 dan dikurniakan dua orang anak perempuan – Amna Maryam yang berusia 3 tahun dan Amna Khadeeja yang baru berusia 10 bulan- merasa sedikit sedih untuk meninggalkan keluarganya bagi menjalani latihan.

“Mengucapkan selamat tinggal agak sukar…terutamanya apabila ada anak kecil yang sentiasa mahu bermanja dengan anda,” jelas Azizul.

“Ini kali pertama saya berjauhan dengan mereka dalam tempoh yang lama dan saya rasa lebih sedih kerana Hari Raya bakal menjelang tak lama lagi.

“Amna Khadeeja, anak kecil saya, sangat gembira apabila melihat ‘Abbi’ pulang. Dia akan merangkak kea rah saya dan mahu didukung.

“Begitu juga dengan kakaknya Amna Marya. Tetapi dia faham kerja saya sebagai atlet dan tidak mengganggu bila saya berehat,” tambah pelumba berusia 28 tahun yang baru berlepas ke Portugal dua hari lepas.

Pengorbanan sebegitu bukan perkara baru bagi Azizul kerana dia pernah menunda pengajian ijazah tahun akhirnya di Australia untuk mengejar kejayaan Olimpik.

Azizul dijadualkan tamat pengajian tahun keduanya dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Victoria, Melbourne penghujung tahun lepas.

Dia kini akan menamatkan pengajian tahun akhirnya pada tahun 2017.

“Meninggalkan keluarga adalah antara pengorbanan yang perlu kami lakukan sebagai atlet, kami perlu lakukannya demi kejayaan dan kebanggaan untuk negara. Ianya tidak mengapa kerana ia akan lebih menaikkan semangat saya dan saya berharap segala persiapan dan pengorbanan saya akan membuahkan hasil.

“Sukan Olimpik kali ini mungkin peluang terbaik saya untuk memenangi pingat emas acara Keirin.

“Saya ditewaskan secara fizikal di London (empat tahun lalu) dan kami ke Portugal untuk mengatasi halangan itu.

“Cuaca sejuk di Melbourne sekarang…Portugal mempunyai persekitaran yang sesuai sebelum kami berlepas ke Rio,” jelas Azizul yang tidak akan menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik pada 5 Ogos nanti.

“Fatehah akan bertanding dalam acara pecut wanita pada 14 Ogos dan saya akan bertanding dalam acara keirin pada hari terakhir acara trak (16 Ogos)…oleh itu kami tidak perlu ke sana awal.”

Other posts by