Kebiasaannya, kelab akan umumkan kemasukan atau perpindahan pemain, tetapi tidak bagi Zlatan Ibrahimovic. Bekas penyerang sensasi Sweden itu mengumumkan sendiri destinasi beliau yang seterusnya.
Penyerang berusia 34 tahun itu mengumumkan beliau akan menyertai Manchester United menerusi media sosialnya sendiri.
Memetik ayat dari laman instagram beliau: “Masa untuk dunia tahu. Destinasi saya yang seterusnya adalah @manchesterunited #iamcoming”.
Zlatan dikatakan belum lagi menandatangani sebarang kontrak bersama kelab England berkenaan dan United sendiri belum mengesahkan perpindahan itu secara rasmi.
Namun, dikatakan Zlatan sudah bersetuju dengan syarat-syarat yang diberikan pada dua minggu lalu, tetapi terdapat klausa dalam kontraknya bersama PSG yang melambatkan urusan perpindahan beliau.
Zlatan Ibrahimovic akan berpindah ke Manchester United secara percuma selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain tamat pada hari Khamis.
Manchester United pastinya berharap Zlatan mampu memberikan impak yang sama seperti Eric Cantona atau bekas penyerang Sweden yang menyertai MU dahulu, Henrik Larsson.
Other posts by Khairul Nizam