Thailand muncul juara Piala Negara-Negara buat julung kali selepas menewaskan Malaysia 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, semalam.
Perlawanan berlangsung sengit dalam separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan saling menyerang, tetapi Thailand menguasai separuh masa kedua dengan pasukan tuan rumah terpaksa bertahan serangan bertali arus pasukan Thailand.
Thailand menjaringkan gol seawal minit ke-3 apabila sepakan percuma Suradet Klankham terkena tiang tetapi Worawut Namvech pantas untuk menyambar bola muntah dan menjaringkan gol pertama Thailand.
Malaysia berjaya mendapat gol penyamaan pada minit ke-35 apabila Muhd Safawi menghantar bola kepada Nur Syamie Iszuan Amin yang dengan tenang menewaskan penjaga gol Thailand Apirak Warawong.
Thailand berjaya mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-78 apabila Samphaodi menjaringkan gol hasil hantaran dari pemain gantian Montree Promsawat.
Samphaodi walaubagaimanapun dibuang padang oleh pengadil perlawanan Xaypaseuth Phongsanit dari Laos pada minit ke-91 selepas menerima kad kuning kedua atas kesalahan membuang masa.
Vietnam muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan Singapura 5-4 dalam penentuan sepakan penalty selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan tersebut.
Other posts by Khairul Nizam