Football

Safiq sah terlepas dua aksi menentang Timor Leste

 

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee hari ini membuat keputusan untuk menggugurkan ketua pasukan Safiq Rahim selepas laporan doktor mendapati bahawa pemain tengah itu tidak sempat pulih dari kecederaannya.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu bakal terlepas dua perlawanan penting skuad negara iaitu play-Off kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Stadium Tan Sri Dato’Haji Hassan Yunos di Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.

“Mengikut laporan doktor, Safiq memerlukan masa lebih lama untuk pulih. Jadi kita mengambil keputusan untuk melepaskan Safiq memandangkan dia tidak dapat diturunkan untuk kedua-dua perlawanan menentang Timor Leste pada 2 dan 6 Jun ini.

“Jadi Safiq akan menjalani rawatan lanjut dengan pihak perubatan JDT. Skuad negara kini tinggal 24 pemain dan tiada pengganti bagi tempat Safiq buat masa ini memandangkan kita hanya perlu mendaftar 23 pemain untuk setiap perlawanan play-off itu nanti,” kata Kim Swee.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberitahu bahawa tumpuannya ketika ini adalah menajamkan bahagian serangan menjelang perlawanan play-off ini.

“Selepas menyaksikan perlawanan persahabatan Timor-Leste bertemu Kemboja (Ahad lalu), beberapa perkara telah saya kenal pasti.

“Di situ saya dapat menilai kelemahan dan kekuatan mereka yang mana kita perlu mengambil kesempatan dan pada masa yang sama tetap perlu berwaspada. Jadi saya akan lebih menerapkan taktikal lebih menyerang untuk berdepan Timor-Leste nanti,” ujar Kim Swee.

 

 

Other posts by