Pemain badminton lelaki negara, terutamanya Dato’ Lee Chong Wei, perlu bangkit semula bagi mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Ogos depan.
Jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock berkata, di sebalik kekalahan skuad negara kepada Denmark dalam aksi separuh akhir Piala Thomas, para pemain tidak perlu hilang semangat, tetapi perlu belajar dari kesilapan dan buat dengan lebih baik di masa hadapan.
“Mungkin tekanan terlampau hebat kerana jadual yang padat dan tempoh persiapan untuk Piala Thomas sangat singkat.
“Mereka ada peluang untuk layak ke final. Semua orang merasakan tekanan itu..tetapi ia dah berlalu. Selepas ini, fokus semua pemain adalah untuk Olimpik,” kata beliau kepada wartawan sejurus tiba di KLIA bersama skuad badminton kebangsaan malam semalam.
Sementara itu, jurulatih itu meminta semua pihak menerima keputusan Chong Wei untuk tidak bermain dalam Piala Thomas 2018.
“Fokus Chong Wei sekarang adalah Sukan Olimpik, kami telah mengambil kira faktor kecederaan dan usia. Jika dia tidak cedera, mungkin boleh (bermain dalam Piala Thomas 2018).
Tetapi sekarang, biarkan dia fokus Olimpik,” ujar beliau.
Denmark mencipta sejarah apabila memenangi Piala Thomas buat pertama kali dalam sejarah mereka selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada hari Ahad lepas.
Kali terakhir Malaysia memenanginya adalah pada tahun 1992.
Other posts by Khairul Nizam