Squash

Surat terbuka untuk Datuk Nicol Ann David

Originally written by Keeshaanan Sundaresan
Translated by Omar Zin

Hai Datuk Nicol,

Bagi surat terbuka ini, saya harap anda tidak kisah saya membahasakan diri anda sebagai ‘Nicol’ – kerana ianya lebih selesa di kalangan masyarakat Malaysia di luar sana.

Tahun ini sememangnya sukar, lebih-lebih lagi sukan Malaysia. Ya, memang ada yang cemerlang di sana sini. Pasukan terjun misalnya, telah memperagakan aksi yang hebat semasa Sukan SEA dan mereka telah bertungkus lumus untuk merealisasikan harapan negara di Olimpik Rio pada tahun hadapan. Namun secara umumnya, boleh dikatakan bahawa sukan kita tidaklah menghadapi tahun yang gemilang ketika ini.

Dalam bola sepak, pasukan negara kita telah mengalami satu pencapaian yang terburuk tahun ini, apabila tewas 10-0 kepada UAE. Pasukan hoki remaja pula gagal melayakkan diri ke Piala Dunia tahun hadapan – ianya satu kejatuhan yang amat jelas.

Badminton juga begitu. Datuk Lee Chong Wei tidak bertanding selama hampir setahun kerana isu doping dan sepanjang ketiadaannya, tiada satu pun pemain yang benar-benar berjaya memberikan sebarang impak yang besar di peringkat antarabangsa. Prestasi anda – tidak kira sebanyak mana kekecewaan yang anda sedang hadapi – ianya sama seperti apa yang kami rasa selaku peminat yang menyokong dari jauh. Sebagai penulis sukan, rasanya sungguh janggal untuk menggelarkan anda sebagai ‘pemain No. 2 dunia’.

Photo Credit: RakyatPost
Photo Credit: RakyatPost

Ianya tentu sukar. Saya takkan kata yang saya faham pun dengan kekecewaan yang anda alami ketika ini, Nicol. Tetapi kata-kata Liz Irving baru-baru ini adalah sangat sukar untuk diterima. Nicol, anda merupakan simbol kekuatan buat kita semua. Dominasi anda di arena skuasy antarabangsa adalah sangat menakjubkan dan saya tidak merasakan yang ramai benar-benar faham pun apa maknanya. Apa yang anda capai selama ini dalam sukan skuasy, adalah sehebat pencapaian Roger Federer dalam sukan tenis, dan ianya juga adalah sehebat kejayaan Usain Bolt.

Anda merupakan pemain wanita nombor satu dunia selama 108 bulan. Pada tahun 2001, anda menjadi pemain pertama yang menjuarai Remaja Dunia sebanyak dua kali (1999 dan 2001). Anda juara Kejohanan Skuasy Asia sebanyak 9 kali dan anda juga sudah berjaya merangkul kejuaraan dalam Terbuka Dunia sebanyak lapan kali ketika ini. Apa yang lebih membanggakan, anda sudah mempunyai sebanyak 79 kejuaraan antarabangsa sepanjang karier anda sehinga hari ini. Ianya tidak terlalu jauh dengan Roger Federer yang mempunyai rekod sebanyak 88 kejuaraan – perlu diingat beliau sering dianggap sebagai pemain terhebat dunia dalam sukan tenis.

Photo Credit: zeenews.india
Photo Credit: zeenews.india

Tiada satupun pencapaian anda yang boleh disifatkan sebagai pencapaian yang sederhana. Tetapi sebelum ini anda cuma gadis yang biasa dari Pulau Pinang, yang baru sahaja memulakan karier sebagai pemain skuasy. Jadi apa yang merubah semua ini? Tiada apa-apa melainkan kerja keras. Setiap pencapaian yang anda capai sebelum ini adalah hasil titik peluh anda selama ini. Kesemua kejuaraan dunia mempunyai makna yang simbolik bagaimana hasil fokus yang tinggi dan kekal konsisten telah berjaya membawa anda sejauh ini.

Jika diperhatikan, semua ini tidak berlaku dengan begitu saja. Ianya juga memberi kesan terhadap setiap rakyat Malaysia di luar sana. Jika diteliti, kita masih lagi negara yang baru, berbanding negara-negara yang lain. Hubungan antara masyarakat kita masih lagi rapuh, lebih-lebih lagi dengan situasi politik di negara kita ketika ini. Tetapi untuk sebuah negara yang mana perbezaan sering kali dipersoalkan, kisah anda dan pencapaian anda adalah antara perkara yang menyatukan kita semua.

Jadi bertahanlah, sang juara. Kemerosotan anda tidak akan kekal untuk selamanya dan berbanding dengan persepi popular, ia tidak ada kena mengena pun dengan kitaran dalam sukan. Jika merujuk kepada isu anda, ketabahan dan keazaman anda akan mengakhiri semua ini juga satu ketika nanti. Di saat-saat anda sedang bergelut dan hilang arah, saya mencadangkan anda untuk melakukan carian nama anda di Twitter dan anda akan melihat sokongan yang tidak terkira untuk anda. Percaya atau tidak, anda merupakan satu inspirasi untuk kita semua. Usain Bolt sendiri pernah melaluinya, itu sebelum dia muncul semula dan memenangi pingat emas dalam acara 100m dalam Kejohanan Dunia di Beijing, pada bulan Ogos yang lalu. Roger Federer juga pernah dikaitkan dengan perkataan ‘kemerosotan ‘, sekurang-kurangnya selama beberapa tahun . Tetapi setiap kali dia akan bangkit dan menunjukkan pada dunia bahawa dia masih belum bersedia untuk bersara.

Photo Credit: themalaysianinsider.com
Photo Credit: themalaysianinsider.com

Tetapi apa yang akan berlaku sekiranya kemerosotan ini tidak berakhir? Itu tidak mengubah apa-apa, Nicol. Dunia kita memang begitu. Semuanya akan berakhir jua satu hari nanti. Tetapi legasi tidak akan pudar. Terutamanya anda, legasi anda tidak akan pernah hilang. Bagi sebuah negara yang yang sentiasa terlibat dalam pertempuran bawah sedar di antara kecemerlangan dan kesederhanaan, legasi anda akan menjadi satu peringatan bahawa jika rakyat Malaysia berani untuk mengejar impian mereka, kita semua mampu mencapai kejayaan.

Bangkitlah, Nicol. Malaysia akan sentiasa menyokong anda.

Other posts by