Kapten pasukan kebangsaan Safiq Rahim menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk pasukan negara menebus kembali maruah yang sudah tercalar setelah sering kali berakhir dengan kekalahan yang memalukan.
Hari ini adalah masa yang terbaik buat pasukan negara untuk membuktikan yang mereka mampu bangkit daripada kekalahan 10-0 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan September yang lalu.
Walaupun Safiq sendiri mengakui yang dia masih lagi dihantui dengan kekalahan itu, namun, dia akan memastikan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang lagi di Stadium Shah Alam kali ini.
“Saya percaya kekalahan buruk itu masih lagi diingati tetapi ia telah pun berlaku dan kita perlu melihat ke hadapan untuk perlawanan esok (hari ini). Saya dan rakan-rakan tekad tidak akan membenarkan perkara itu berulang lagi.
“Ini kerjaya kami, suka atau tidak suka orang bercakap buruk kita harus bersikap terbuka untuk menerimanya dan pada masa yang sama kita perlu berusaha dan membuktikan sesuatu.
“Lagipun ini merupakan aksi terakhir saya buat negara bagi tahun ini dan semestinya saya mahu mencari penamat yang positif buat diri saya dan pasukan negara. Kita mahu kembalikan maruah Harimau Malaya dan Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di Wisma FAM, semalam.
Other posts by Omar Zin