Ketua jurulatih sementara pasukan Malaysia, Ong Kim Swee sedar Palestin merupakan pihak lawan yang sangat sukar untuk ditangani namun beliau yakin pasukan Malaysia akan bermain dengan lebih baik dari sebelum ini.
Jurulatih berusia 44 tahun itu percaya setelah enam hari berada di Amman, Jordan, pasukan negara sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan padang di sana malah sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 hari ini.
Ong mahu melihat perubahan yang positif daripada cara permainan para pemain dengan harapan dapat mencipta kejutan terhadap pasukan dari Timur Tengah itu.
“Persiapan terakhir dalam sesi latihan petang ini (semalam), tidak banyak berbeza. Saya percaya semua pemain sudah bersedia.
“Kami sedar bukan mudah untuk menghadapi pasukan seperti Palestin kerana mereka pasukan yang cukup kuat. Malah kami tewas 6-0 kepada Palestin sebelum ini, tetapi setiap perlawanan takkan sama. Kami tak mahu tewas lagi, lebih-lebih lagi dengan jaringan yang besar kerana itu sesuatu perkara yang cukup menyedihkan.
“Apa yang penting sekarang ini, kita perlu fokus dan perlu benar-benar berdisiplin. Jika itu dapat dilakukan, pasti kita boleh mencapai satu keputusan yang memuaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Other posts by Omar Zin