Hari Deepavali selalunya disambut dengan meriah oleh seluruh masyarakat di Malaysia yang beragama Hindu namun bagi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) S. Chanturu, dia terpaksa melupakan hasrat untuk menyambut bersama keluarga demi pasukan kebangsaan.
Pemain berusia 27 tahun itu merupakan salah satu pemain dari pasukan kebangsaan yang akan menentang Palestin dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di Amman, Jordan pada 12 Nov ini.
Katanya, ini bukan kali pertama dia tidak dapat menyambut hari perayaan bersama keluarga namun berharap pengorbanannya selama ini adalah satu pengorbanan yang berbaloi.
“Ini bukan kali pertama saya terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga pada hari perayaan. Kali pertama adalah semasa Sukan Asia 2010 dan ini sudah kali ketiga.
“Perasaan sedih itu memang ada, tetapi saya sudah biasa dengan keadaan seperti ini.
“Saya sudah memohon maaf kepada ibu bapa dan seluruh ahli keluarga sebelum berlepas ke Jordan. Sejak awal-awal lagi saya sudah mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada keluarga saya.
“Saya berharap apa yang saya lakukan ini berbaloi. Saya mahu membantu pasukan mencipta sesuatu dalam perlawanan nanti dengan sekurang-kurangnya mendapat satu mata berharga.
“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua yang beragama Hindu dan doakan kejayaan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Other posts by Omar Zin