Ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Mario Gomez percaya anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan akhir Piala AFC menentang pasukan FC Istiklol dengan harapan dapat menjulang piala berprestij Asia itu di Dushanbe, Tajikistan Sabtu ini.
Setelah melalui pelbagai perlawanan yang sukar sepanjang menyertai kempen Piala AFC tahun ini, ramai peminat Harimau Selatan menganggap jika JDT berjaya menjadi juara di pentas akhir, segala usaha yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim selama ini akan menjadi berbaloi.
Gomez berkata, pasukan JDT ketika ini sedang membiasakan diri dengan keadaan dan cuaca malah turut memberikan penekanan kepada latihan fizikal dan mental di Tajikistan.
“Tinggal dua hari sahaja lagi untuk menjalani latihan dan kami sudah bersedia. Tumpuan kami sekarang adalah untuk menjulang Piala AFC.
“Padang di sini berbeza dengan padang yang biasa kita gunakan kerana mereka menggunakan padang sintetik.
“Sebab itu pemain perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan padang di sini supaya mereka dapat mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
JDT adalah pasukan dari Malaysia yang pertama dan juga pasukan dari zon Asia Timur yang pertama mara ke perlawanan akhir Piala AFC sejak diperkenalkan pada tahun 2004.
Other posts by Omar Zin