Football

Kecederaan Luciano Figueroa buat JDT resah

Menjelang beberapa hari sebelum perlawanan akhir Piala AFC, cabaran Johor Darul Takzim (JDT) menjadi bertambah sukar setelah Luciano Figueroa dilaporkan mengalami kecederaan hamstring.

Kecederaan tersebut juga menghalang Figueroa daripada diturunkan dalam perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam ini.

Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez berkata dia berharap kecederaan yang dialami Figueroa tidak terlalu serius dan beberapa pemain utama yang lain kemungkinan besar akan direhatkan bagi mengelakkan daripada mengalami sebarang kecederaan serius.

“Saya berharap kecederaannya tidak begitu serius. Kami masih ada beberapa hari lagi sebelum perlawanan akhir dan tempoh itu boleh dianggap kritikal.

“Kami akan merehatkan Lucho pada aksi menentang Sarawak supaya dia mendapat rawatan yang sepenuhnya kerana kami memerlukannya untuk final Piala AFC.

“Saya tidak boleh hilang pemain lagi. Cukuplah dengan beberapa pemain yang sudah mengalami kecederaan. Pemain yang ada pula tidak boleh cedera kerana kita ada misi penting untuk final Piala AFC.

“Kami mahu tiga mata dan layak ke suku akhir. Saya harap setiap pemain akan memberi komitmen yang tinggi dan sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Selain daripada Luciano Figueroa, pemain seperti Mohd Fadhli Shas, Asrarudin Putra Omar dan Junior Eldstal juga masih belum pulih daripada kecederaan dan memerlukan masa untuk kembali ke kesebelasan utama.

Other posts by