Football

Tidak mustahil untuk kalahkan JDT – Joseph Kalang

Kapten pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie percaya pasukannya mampu mencipta kejutan apabila pasukannya bertemu Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, esok.

Walaupun Sarawak akan turun tanpa kehadirannya setelah digantung satu perlawanan, Joseph percaya dengan kembalinya penyokong Bujang Senang di stadium, ianya pasti akan dapat memberikan semangat yang lebih tinggi demi memperoleh tiga mata penuh di laman sendiri.

Joseph berkata, dia menaruh harapan kepada rakan-rakan sepasukannya untuk memberikan tentangan yang sengit kepada pihak lawan yang ketika ini merupakan juara Liga Super 2015 dan finalis Piala AFC 2015.

“Semua orang tahu reputasi JDT tetapi tiada yang mustahil dalam perlawanan bola sepak. Saya berharap sesiapa sahaja yang diturunkan oleh jurulatih nanti akan memberikan komitmen dengan 100 peratus.

“Kejadian kad merah sebelum ini berlaku secara tidak disedari dan saya mengakui kesilapan saya. Saya berharap kejadian ini menjadi pengajaran paling berguna buat diri saya.

“Walaupun agak sedih kerana tidak dapat beraksi tetapi saya percaya para pemain lain akan menggalas tanggungjawab untuk memastikan kemenangan esok menjadi milik kami,” katanya kepada Kosmo semalam.

Dalam saingan Kumpulan B, JDT unggul di tempat pertama telah mengumpul sebanyak 9 mata setelah berjaya mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan sebelum ini, manakala Sarawak berada di tangga kedua setelah mengutip enam mata daripada tiga perlawanan.

Other posts by