Football

Dejan Antonic jurulatih baru Malaysia U23?

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan sudah menemui calon yang sesuai bagi menggantikan Ong Kim Swee sebagai jurulatih pasukan Malaysia Bawah-23 yang baru.

Menurut satu sumber, jurulatih Persipasi Bandung Raya, Dejan Antonic telah pun mengemukakan permohonannya untuk menjadi jurulatih pasukan Bawah-23 pada hari Jumaat yang lalu.

Sumber itu turut mengatakan bahawa jurulatih tersebut sememangnya berminat untuk mencuba nasib di Malaysia.

“Antonic antara calon yang sesuai untuk memohon jawatan jurulatih Bawah 23 negara.

“Memandangkan dia memiliki Lesen Kejurulatihan UEFA kelas A, sudah tentu dia boleh berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalamannya dengan para pemain kita.

“Dia juga boleh bertutur serta menulis dalam Bahasa Melayu dengan baik kerana dia berkahwin dengan warganegara Indonesia jadi sudah tentu tiada masalah komunikasi di sini,” kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia semalam.

Antonic memulakan kariernya sebagai jurulatih bersama dengan kelab terkemuka Hong Kong, Kitchee pada tahun 2005 dan memenangi tiga piala domestik sepanjang empat tahun dengan kelab tersebut.

Jurulatih itu kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Hong Kong pada tahun 2007 sebagai persiapan untuk Piala Asia 2011.

Setelah tujuh tahun berada di Hong Kong, Antonic membuat keputusan untuk berhijrah ke Indonesia dan menjadi jurulatih kepada beberapa pasukan seperti Arema, Pro Duta dan kini baru sahaja kembali menjadi jurulatih Persipasi Bandung Raya buat kali kedua.

Pengendali Serbia itu juga pernah menyertai kem kejurulatihan bersama dua kelab terkemuka iaitu PSV Eindhoven pada 2005 dan di Barcelona pada 2007 malah ketika ini dia baru sahaja selesai mendapatkan Lesen Kejurulatihan UEFA Pro di Nyon, Switzerland, pada hari Rabu yang lalu.

Iklan jawatan kosong bagi jurulatih bawah 23 tahun negara telahpun tamat pada hari Isnin yang lalu dimana calon akan dipilih oleh panel pemilihan yang diwakili oleh tiga wakil dari FAM serta tiga wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan keputusan dijangka akan dikeluarkan pada penghujung bulan Oktober atau awal bulan November ini.

Other posts by