Originally written by Keeshaanan Sundaresan
Translated by JOHOR Southern Tigers’ Media Team
Idola saya – selain ayahanda saya – adalah Fidel Castro. Beliau mungkin seorang komunis, tetapi saya menghormati bagaimana beliau mempertegakkan prinsip yang menjadi pegangannya” – TMJ
Terdapat suatu aura keyakinan tentang DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Ada yang mengatakan ianya daripada darah DiRajanya. Ada yang merasakan yang baginda sememangnya angkuh, namun bukankah itu yang selalu diperkatakan terhadap mereka yang mengetengahkan idea-idea baru dan radikal? Kebanyakan rakyat Malaysia membesar dalam suasana di mana terdapat kejelakkan merentasi generasi terhadap bolasepak tempatan – dan ianya berpunca daripada kegagalan kita secara konsisten di persada utama, dan juga gejala mengatur perlawanan (saya tidak lupa perkara tersebut). Sekiranya tidak jelak dan benci, ianya perasaan tidak yakin. Ianya merupakan sebahagian identiti kita untuk sentiasa mengeluarkan komen dan pandangan yang meragui kebolehan produk kita sendiri.
Kita tidak boleh menyalahkan penyokong juga. Sebagai sebuah negara yang merdeka pada tahun 1957, kita masih tercari-cari identiti diri. Oleh kerana kaburnya nilai identiti kita, ianya bermakna walaupun keutamaan diletakkan kepada mencapai kecemerlangan, akan timbulnya sikap sambil lewa dan kesederhanaan yang akan menjadi perkara biasa; baik dalam bidang pelajaran, sukan mahupun politik.
Kemudian, muncul Tunku Ismail yang mengambil alih Persatuan Bolasepak Negeri Johor dan “memaksa” perubahan dalam persatuan. Tiga tahun kemudian, sebuah pasukan yang mempunyai kurang 100 penonton hadir menyaksikan perlawanan di laman sendiri kini berubah menjadi juara Liga Super Malaysia dua tahun berturut-turut. JDT juga melakar sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama yang pernah melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFC.
Mereka mempunyai padang terbaik di Asia Tenggara. Para pemain sentiasa memberi pujian terhadap kemudahan latihan yang disediakan untuk mereka, termasuklah treadmill anti-graviti! Semua anggota dalam struktur kelab dilayan dengan baik dan dibayar gaji mengikut jadual. Mereka juga pernah menandatangani nama-nama terkemuka dalam bolasepak dunia (Dani Guiza dan Pablo Aimar), selain memiliki para pemain terbaik Malaysia dalam pasukan mereka.
Baru-baru ini mereka juga telah melancarkan program pembangunan akar umbi yang komprehensif, yang dibangunkan bersama jurulatih dari Borussia Dortmund. Apa yang lebih baik lagi adalah Tunku Ismail akan bertemu pengurusan Barcelona dan Paris St. Germain untuk memulakan rangkaian usahasama.
Siapakah orang ini, dan bagaimana beliau mampu melakukan semua tersebut? Amat menakjubkan.
Oleh itu, apabila dimakumkan bahawa permohonan saya untuk menemuramah Tunku Ismail diperkenan, saya amat teruja. Interpretasi masyarakat umum terhadap Tunku Ismail selama ini agak kabur. Kepada segenap lapisan masyarakat, terutamanya Bangsa Johor, Tunku Ismail merupakan seorang pejuang yang mempertegakkan suara rakyat. Kepada yang lain pula, baginda merupakan seorang kerabat raja yang ingin mencari perhatian, dengan menggunakan sukan sebagai saluran untuk meraih modal politik. Namun sifat Tunku Ismail yang berterus-terang bagaikan udara segar dalam situasi semasa.
“Johor bukannya sekadar bolasepak, ianya lebih daripada itu. Ianya merupakan satu saluran untuk menyatupadukan rakyat dan menggalakkan perpaduan dalam masyarakat. Jadi, saya tidak peduli kalau orang menyangka saya menggunakan JDT sebagai satu alat politik, memang itulah yang saya lakukan. Saya tiada apa hendak disembunyikan,” titah baginda, dengan senyum sinis bersahaja di wajahnya.
Kenyataan-kenyataan baginda yang radikal tidak diterima dengan baik oleh golongan politik di negara ini, terutama sekali mereka yang memegang jawatan eksekutif dalam FAM. Baginda terlalu muda, sesetengah berkata, cuba mengalihkan fokus daripada kelemahan sendiri. Ianya amalan yang biasa bagi kita, kadangkala tidak mampu menghormati seseorang tanpa mengambil kira usia mereka. “Jangan nilai saya berdasarkan umur saya, tetapi berdasarkan kelayakan dan merit dalam kenyataan-kenyataan saya.”
Sejujurnya, soal kredibiliti tidak perlu timbul dalam perbincangan ini. Tunku Ismail menerima pendidikan di Australian International School Singapura, sebelum melanjutkan pelajaran di Hale School di Perth, Australia. Namun ianya tidak berakhir di situ. Menjadi tradisi untuk putera sulung keluarga DiRaja Johor menjalani latihan ketenteraan, dan Tunku Ismail dilatih di Maktab Tentera India sebagai pegawai kadet. Seperti orang baru yang lain, Tunku Ismail masih ragu-ragu dengan perjalanan hidup baginda di sana.
“Tentulah saya amat takut!” ujar baginda tertawa. “Ianya merupakan tradisi keluarga, saya mesti melakukannya, dan akhirnya saya menerima hakikat tersebut. Kerana pada kemudian hari, saya perlu menerajui Askar Timbalan Setia Negeri Johor, jadi saya fikir latihan tersebut sebagai persiapan saya untuk tanggungjawab tersebut.”
Tunku Ismail menyandang jawatan kapten pada tahun 2007 dan kemudiannya muncul sebagai warga asing pertama untuk mengetuai Angkatan Tentera India dalam perbarisan Hari Kebangsaan India, disaksikan oleh Presiden India Dr. A.P.J. Abdul Kalam dan juga Vladamir Putin dari Russia – suatu detik bersejarah yang turut disaksikan oleh ayahanda, DYMM Sultan Ibrahim, yang berangkat ke India semata-mata untuk acara tersebut. Pengalaman dan latihan dalam bidang ketenteraan menjadikan Tunku Ismail individu yang kita kenali pada hari ini.
Dengan jati diri yang teguh, baginda memulakan usaha untuk menghidupkan kembali bolasepak Johor. Pada penghujung tahun 2012, Tunku Ismail mengambil alih PBNJ dan “membersihkan” organisasi tersebut, dilakukan secara menyeluruh tanpa dolak dalik. Namun terdapat kisah disebalik pendekatan tanpa kompromi baginda.
“Saya mengenali seorang dari PBNJ dahulu yang sering datang melihat saya berlatih polo. Beliau selalu memohon agar saya campur tangan dan mengambil alih PBNJ. Beliau selalu memohon kepada saya, mengatakan gejala rasuah memusnahkan bolasepak di negeri ini. Pada masa tersebut, saya mahu tampil untuk membawa perubahan kepada rakyat saya, jadi saya pergi menonton perlawanan liga melibatkan Johor FA di Stadium Pasir Gudang. Hampir tiada orang menonton perlawanan, dan saya terfikir sendiri, apa yang berlaku? Kerana pasukan Johor yang saya ingat sewaktu menonton perlawanan bersama keluarga dahulu mempunyai ramai penyokong.
“Malam itu saya menanam niat untuk mengubah nasib bolasepak Johor. Esok harinya saya mengadakan satu mesyuarat dengan PBNJ dan saya memberitahu bahawa setiap seorang daripada mereka perlu mengosongkan pejabat dan meninggalkan persatuan. Ianya memerlukan permulaan yang baru, dan saya tidak mahu individu-individu yang korup untuk merosakkan usaha tersebut.”
Perkara pertama yang dilakukan baginda setelah mengambil alih teraju adalah menyatukan pelbagai kelab di bawah PBNJ (Johor FA, Johor FC, MP Muar) dan menyatukannya di bawah satu identiti untuk negeri – Johor Darul Ta’zim, atau lebih dikenali sebagai JDT. Sebuah bahagian pemasaran juga ditubuhkan, dan fokus beralih kepada memantapkan skuad. Penglibatan baginda menarik minat pelbagai penaja dan pelabur, yang membolehkan JDT bersaing bagi menarik perhatian para pemain terbaik negara. Istilah “pasukan kaya Malaysia” mula dikaitkan dengan JDT apabila mereka mula mendapatkan pemain seperti Safiq Rahim, Safee Sali dan juga Dani Guiza – yang memulakan gelombang di seluruh negara apabila JDT menunjukkan kekuhan kewangannya buat kali pertama.
JDT juga faham bahawa kejayaan tidak boleh diteruskan dalam jangka masa pendek sahaja, dan walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi pada tahun 2013, JDT melangkah ke pusingan akhir Piala FA sebelum tewas kepada Kelantan 1-0. Pada tahun tersebut Harimau Selatan juga menduduki tangga ketiga dalam Liga Super, dengan pasukan Lions XII dari seberang tambak menjuarai liga. Pada tahun itu juga di laman facebook JOHOR Southern Tigers memuat naik kata-kata daripada baginda yang berbunyi: “2013 adalah latihan, 2014 masa memanaskan badan dan 2015 adalah masa perlawanan.” Ianya sebagai memberikan semangat kepada para penyokong JDT. Apa yang berlaku selepas 2013 kelihatan seolah-olah mengikut skrip. JDT menjadi juara Liga Super 2014, layak ke pusingan akhir Piala Malaysia dan juga ke separuh akhir Piala FA. Kelayakan ke kejohanan Piala AFC juga dalam genggaman – dan sehingga ketika ini, merupakan kejayaan paling manis bagi baginda.
“Kita layak ke separuh akhir Piala AFC tahun ini dan ianya sangat hebat. Namun saya tidak akan lupa waktu kita layak ke Piala AFC tahun lepas. Ianya merupakan satu detik penting dalam misi jangka masa panjang kita.
“Apabila saya mula mengambil alih JDT, matlamat saya adalah untuk mencipta sejarah. Dan sejarah dicipta bukan sahaja dengan menjulang piala, tetapi juga dengan membuka mata dunia dengan kewujudan kita, dengan memiliki kemudahan dan organisasi bertaraf dunia. Walaupun kita mahu berjaya di Malaysia, Piala AFC sentiasa menjadi keutamaan, kerana ianya kejohanan benua ini dan menjadi ukuran untuk membandingkan kita dengan para pemain dan pasukan yang lebih handal.
Di sebalik segala transformasi yang berlaku di JDT sejak 2012, perubahan paling besar merupakan inisiatif baginda untuk menggalakkan penglibatan penyokong dengan kelab. Baginda sering mengadakan sesi dialog bersama penyokong, dan ianya tidak terhad kepada penyokong JDT sahaja. Sebelum temuramah saya dengan baginda, Tunku Ismail telah mengadakan dialog terbuka di Stadium Larkin untuk penyokong dari seluruh pelusuk negara, bagi membincangkan cara bagaimana FAM perlu berubah.
Terdapat satu detik yang meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang hadir. Setelah lebih daripada sejam berdialog, seorang wakil Ultras Malaya bangun dan bertanyakan cadangan untuk kaedah-kaedah alternatif bagi mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka, setelah mereka dijadikan kambing hitam setelah insiden membaling suar semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Arab Saudi bulan lalu. Respons baginda adalah ringkas tetapi mantap: “Biar saya wakili anda. Biar saya wakili setiap seorang daripada anda, saya akan menjadi perantara dan akan menyampaikan segala permasalahan anda kepada mereka.” Tepukan dan sorakan gemuruh memenuhi bilik media dengan serta-merta.
Adakah baginda ikhlas dengan kenyataan tersebut? Atau adakah ianya kenyataan difikirkan dengan rapi dengan niat politik? Ianya tidak penting, kerana serangan demi serangan berdasarkan fakta dan intelek oleh baginda terhadap FAM mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap baginda. Terdapat perbezaan antara kemarahan dan perbezaan pendapat – kenyataan-kenyataan TMJ (baru-baru ini, sekurang-kurangnya) menggambarkan perbezaan pendapat. Namun begitu, saya tetap bertanyakan soalan kontroversi kepada baginda. “Adakah Tunku menggunakan kegagalan FAM untuk menarik orang ramai bersama Tunku?” Sekali lagi, sifat berterus-terang baginda terserlah.
“Ada yang mengatakan saya melakukannya untuk menarik perhatian orang ramai. Ada benarnya juga. Tetapi saya juga menyuarakan pendapat saya, kerana FAM terus menerus membuat keputusan yang tidak betul. Mengapa anda melantik jurulatih pasukan kebangsaan yang mempunyai sejarah mengatur perlawanan? Mengapa FAM memerlukan sehingga 40% hasil yang bakal disalurkan oleh MP & Silva tahun depan? Bagaimana Presiden FAM boleh mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam proses membuat keputusan berhubung pelantikan Dollah tahun lepas?
“Keputusan saya untuk bersuara tidak perlu dikaitkan dengan sesiapa. Saya melakukannya kerana saya merasakan itulah yang sepatutnya dilakukan. Bolasepak bukan milik FAM, ianya milik ahli gabungan dan ianya milik rakyat. FAM hanyalah badan pentadbir, tidak lebih, tidak kurang. Oleh itu, perlu perubahan dalam kepimpinannya.
“Siapa yang boleh mengambil alih? Saya pun tidak pasti. Orang seperti saya dan Tan Sri Annuar Musa akan sentiasa melebihkan Johor dan Kelantan. Sebagai Presiden FAM, seseorang itu perlu belaku adil dalam membuat keputusan, tetapi saya tidak mampu melakukan yang demikian. Johor lebih utama pada saya, sebelum Malaysia. Khairy Jamaluddin mungkin calon yang paling sesuai, tetapi saya rasa mungkin beliau juga kurang berminat untuk kembali ke FAM.”
Bias Tunku Ismail kapada Johor dicerminkan dengan kemajuan yang dikecapi JDT dalam tiga tahun kebelakangan ini. Mereka tidak pernah selesa dengan apa yang dicapai – ianya merupakan usaha gigih yang berterusan sejak hari pertama apabila mereka meninggalkan seluruh Malaysia di belakang. Hari ini, terdapat beberapa kelab yang mampu menandingi kewangan JDT, tetapi boleh dikatakan tiada yang diuruskan secara professional sebagaiamana JDT. Mereka mempunyai perancangan yang diatur untuk menghantar bakat-bakat muda untuk latihan di kelab-kelab terkemuka Eropah. Pembinaan sebuah stadium dan akademi latihan baru juga akan dilaksanakan. Setiap pencapaian menjadi keinginan untuk berkembang pesat sebagai sebuah pasukan. Setiap kata-kata motivasi yang tertera di dinding-dinding di Stadium Larkin merupakan tanda semangat tersebut. Baginda tidak mempunyai niat untuk berhenti berusaha.
“Dalam masa lima hingga sepuluh tahun dari sekarang, kita berharap untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik Asia. Namun tiada had bagi semua ini. Kita tidak boleh berhenti berusaha dan mengatakan yang kita sudah cukup berjaya. Ianya suatu perjalanan yag berterusan, kita tidak boleh terlalu selesa. Saya sentiasa mengingatkan semua dalam kelab ini, penghalang kemajuan yang paling utama adalah sifat malas dan selesa. Hari di mana para pemain dan kakitangan JDT berasa selesa dengan pencapaian mereka, itulah hari kelab berkubur.
“Saya tidak akan membenarkan ia berlaku, dan melihat kepada keadaan sekarang, saya rasa para penyokong juga tidak akan membenarkan ianya berlaku. Di Johor, sejak zaman berzaman kita digalakkan untuk bersatu dan komited dalam memperjuangkan sesuatu. Jadi walaupun ahli politik sentiasa memainkan sentimen perkauman, Bangsa Johor sentiasa bersatu, dan perpaduan itulah yang menjadi tulang belakang kelab ini.”
Saya terus melontarkan satu lagi soalan kontroversi: “Tidakkah Tunku merasakan bahawa kenyataan bersifat kenegerian seperti yang disiarkan di media sosial, akan menimbulkan perpecahan di peringkat nasional?” Baginda tersenyum, dan bertitah: “Saya bakal menjadi Sultan negeri ini dan tanggungjawab utama saya adalah rakyat negeri Johor. Malaysia penting bagi saya, tetapi Johor dan JDT sentiasa saya utamakan.
“Rakyat patut tahu, bahawa kekusutan di negara kita sekarang ini tiada kaitan dengan keluarga DiRaja Johor. Sejak sekian lama kita telah berdiri teguh, berdikari dan bijak. Kita menyertai Persekutuan Tanah Melayu pun dengan kedua belah pihak bersetuju dengan syarat-syarat tertentu, dan sekiranya terdapat syarat-syarat tersebut dilanggar, kita berhak menarik diri. Anda boleh menuduh saya memainkan sentimen kenegerian, tetapi pada saya, saya sekadar menjalankan tugas saya kepada rakyat Johor, dan mengingatkan mereka berkenaan sejarah dan warisan bumi bertuah ini.
“Bertahun-tahun daripada sekarang, takdirnya jika saya meninggalkan JDT, rakyat Johor harus tahu bahawa tiada apa untuk dirisaukan. Struktur yang saya terapkan hari ini bermakna, setiap orang – baik Presiden, pemain mahupun kakitangan – mungkin datang dan pergi, tetapi falsafah dan panduan kelab akan memastikan kestabilan jangka masa panjang. Itu saya boleh janji.” Titah baginda lagi.
Beberapa hari selepas temuramah ini, Tunku Ismail berangkat ke Argentina, di mana baginda akan mengambil bahagian dalam sebuah kejohanan polo terkemuka. Namun baginda telah membuat perancangan. Sebaik berangkat pulang ke Johor nanti, baginda akan mengatur mesyuarat bersama MP & Silva, FAM dan juga Football Malaysia LLP – di mana baginda akan mengetengahkan proposal dengan senarai komprehensif cadangan yang mampu mengekang kemerosotan bolasepak Malaysia. Melantik jurulatih luar yang berpengalaman bagi pasukan kebangsaan,membubarkan program Harimau Muda, dan memberikan kelab-kelab di Malaysia hak penyiaran mereka yang selayaknya. Tetapi dalam saya mengakhiri temuramah ini, baginda masih tidak yakin dengan kesungguhan dan kesudian FAM untuk menerima cadangan-cadangan baginda, namun ianya tidak akan menghalang baginda daripada meneruskan hasrat untuk mengadakan mesyuarat tersebut.
Temuramah saya berakhir di situ dan perkara pertama yang saya lakukan adalah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keikhlasan dan sifat terus terang baginda. Saya bersalam dengan baginda, mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota keselamatan baginda, sebelum menuju ke tempat letak kereta Hotel Thistle. Saya masuk ke kereta dan memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan pulang selama tiga jam memberikan saya banyak masa untuk berfikir. Cara baginda mungkin radikal, tetapi ada yang berpendapat ianya membawa perubahan. Kenyataan baginda mungkin menimbulkan provokasi, tetapi ianya juga jujur. Tindakan baginda mungkin kelihatan bersifat sementara, tetapi ianya juga merevolusikan. Dan cadangan-cadangan baginda kepada FAM mungkin dipengaruhi kepentingan diri, tetapi ianya juga merupakan kepimpinan progresif.
Namun apa yang dilaksanakan baginda, selain memartabatkan bolasepak Johor, adalah menjadi sinar harapan bagi peminat bolasepak tanah air. Sebelum ini kebanyakan individu tidak mempunyai suara, kini mereka mempunyai harapan dengan adanya Tunku Ismail. Dan suara baginda juga merupakan faktor penting dalam menekan FAM. Walaupun korupsi dan gejala mengatur perlawanan mengambil masa untuk diatasi, banyak perubahan besar boleh berlaku dengan tekanan secara kolektif daripada penyokong. Nampaknya masanya sudah hampir. Kelab-kelab penyokong dari seluruh negara kini bersatu dalam membantah FAM, Ultras Malaya mendapat sokongan Tunku Ismail dan mereka yang atas pagar kini mengambil inisiatif untuk meyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial. Kepada FAM, bola sekarang di kaki anda, kerana revolusi ini tidak akan padam dalam masa terdekat ini.
Saya kenalkan anda dengan “Godfather” Bolasepak Malaysia.
Other posts by Keeshaanan Sundaresan