Walaupun harapan kebanyakan peminat termasuk Ultras Malaya untuk melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digantung oleh Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak kesampaian, namun mereka masih menuntut supaya perubahan terhadap bola sepak negara dilakukan dengan segera.
Wakil Ultras Malaya, Alfadli Awaludin berkata, ini kerana, hukuman denda tersebut biasanya tidak akan mengubah fikiran FAM untuk melakukan sebarang perubahan biarpun telah dikenakan denda yang berat hasil desakan daripada peminat-peminat bola sepak tanah air.
Dia berkata mereka akan terus menerus memberikan tekanan sekiranya FAM masih lagi gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Ini bukan soal FAM kena denda. Ini juga bukan soal pasukan senior terpaksa beraksi di stadium kosong, ianya mengenai perubahan yang perlu dilakukan oleh FAM.
“Selagi pasukan kebangsaan tidak layak ke Piala Dunia dan Piala Asia serta wakil negara beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia tanpa melalui play-off, desakan akan terus dilakukan.
“Persoalan ini bukan hanya kepada Ultras Malaya tapi semua pihak yang mahu melihat FAM berubah. Kami bukan mahu melihat bola sepak mundur, tapi menunjukkan kemajuan.” Jelasnya kepada Harian Metro semalam.
FIFA baru-baru ini telah menghukum FAM sebanyak RM 180,000 dan digantung satu perlawanan tanpa penonton susulan insiden rusuhan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu yang turut menyaksikan Arab Saudi dihadiahkan kemenangan 3-0 serta tiga mata untuk pasukan itu dalam Kumpulan A.
Other posts by Omar Zin