Dua penyokong Ultras Malaya didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini selepas terlibat dalam kejadian rusuhan semasa perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia di Stadium Shah Alam, minggu lepas.
Dua penyokong tersebut adalah Mohd Ridzuan Ahmad, 36 dan Nudzul Haqimi Zulkepli,31.
Kedua-dua tertuduh didakwa atas kesalahan merusuh dengan membaling suar dan melempar bom asap ke dalam padang serta melepaskan bunga api.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Quadron C, Stadium Shah Alam, di Seksyen 13, Shah Alam pada jam 10.50 malam, 8 September.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N Parimalaah telah mencadangkan bayaran ikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam kepada tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad meminta supaya ikat jaminnya dikurangkan memandangkan Mohd Ridzuan perlu membesarkan anaknya sementara Nudzul Haqimi mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.
“RM8,000 seolah-olah satu hukuman apabila mereka belum dibuktikan bersalah. Mereka juga telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan ini menunjukkan yang mereka adalah orang yang bertanggungjawab. Disebabkan itu, saya memohon bayaran wang jaminan untuk kedua-dua pelanggan saya dikurangkan , ” katanya.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin kemudiannya membenarkan bayaran ikat jamin sebanyak RM3, 500 untuk setiap seorang dan menetapkan 15 Oktober sebagai sebutan semula kes.
Kedua-duanya diikat jamin.
Perlawanan antara Malaysia dengan Arab Saudi terpaksa dihentikan pada minit ke-88 apabila penyokong-penyokong Ultras Malaya melepaskan bunga api, balingan suar serta bom asap ke dalam padang, memaksa para pemain dan jurulatih kembali ke bilik persalinan. -Bernama
Other posts by Omar Zin