Football

Malaysia tewas 2-1 kepada Arab Saudi, perlawanan dihentikan

Malaysia tewas 2-1 kepada Arab Saudi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia yang terpaksa di hentikan akibat balingan suar dan bom asap di Stadium Shah Alam.

Safiq Rahim menjaringkan gol pertama untuk Malaysia namun Arab Saudi hanya perlu mengambil masa hanya enam minit untuk menjaringkan dua gol.

Kedua-dua pasukan memulakan rentak permainan yang perlahan dan berhati-hati pada separuh masa pertama untuk mengelakkan diri dari dibolosi awal.

Arab Saudi mendominasi serangan pada separuh masa pertama namun tumpul di bahagian serangan serta dihalang oleh pertahanan pasukan Malaysia.

Malaysia mempunyai peluang menerusi sepakan percuma namun Safiq Rahim gagal menembusi gawang pihak lawan.

Baddrol Bakhtiar juga mempunyai peluang apabila hampir menjaringkan gol dari jarak jauh namun sepakannya sedikit tersasar.

Kedua-dua pasukan cuba untuk mencipta peluang ke arah gol namun gagal ekoran ketumpulan kualiti serangan dan pertahanan yang kukuh.

Arab Saudi menggandakan asakan pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan yang merbahaya namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan negara.

Kemasukan Wan Zack Haikal menggantikan S. Kunanlan memberi satu nafas baru buat pasukan Harimau Malaya apabila berjaya mengucar-ngacirkan pihak lawan termasuk hantaran satu dua dengan Matthew Davies namun gagal menemui Amri Yahyah dalam kotak penalti.

Wan Zack sekali lagi mempunyai peluang apabila dia melepaskan sepakan dari luar kotak penalti namun tersasar.

Safiq sekali lagi mendapat peluang terbaik dari jarak dekat namun percubaannya jauh melambung tinggi.

Fakri Saarani yang masuk menggantikan Azamuddin Akil tidak menunggu lama untuk memberikan impak apabila tandukannya berjaya menemui Amri yang terus melakukan hantaran dari kiri lalu menemui Wan Zack yang berjaya menemui Safiq Rahim lalu menjaringkan gol pertama untuk Malaysia.

Namun tiga minit kemudian, Arab Saudi menyamakan kedudukan menerusi Taisser Al Jassam yang tidak dikawal di dalam kotak penalti lantas mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol melepasi Khairul Fahmi.

Arab Saudi tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua apabila Mohammed Al Sahlawi yang tidak dikawal menanduk masuk gol hasil hantaran dari luar kotak penalti.

Pasukan pelawat cuba menambah lagi gol untuk kekal selesa mendahului perlawanan namun berjaya disekat oleh pertahanan tuan rumah.

Dengan masa hanya berbaki dua minit sahaja lagi, perlawanan terpaksa dihentikan setelah penyokong tegar Malaysia, Ultras Malaya bertindak membaling suar dan melepaskan bom asap ke dalam padang.

Perlawanan dihentikan setelah kedua-dua jurulatih pasukan tidak mahu meneruskan perlawanan dan status perlawanan akan ditentukan dalam masa yang terdekat.

Other posts by