Saya masih lagi ingat dengan jelas, ketika berada di satu sidang media pada 1996, seorang wartawan bertanyakan kepada Ron Smith apakah komponen paling penting untuk Malaysia bersaing secara kompetitif dalam peringkat antarabangsa. Beliau yang baru sahaja berkhidmat untuk salah satu program pembangunan yang terbaik di Australia iaitu Australian Institute of Sport, telah memberikan satu jawapan yang boleh di agak, iaitu pembangunan secara rapi di peringkat akar umbi. Malangnya, walaupun Ron Smith dan pakar-pakar yang lain sudah memberikan cadangan yang serupa, pembangunan akar umbi sangat tidak diendahkan sekitar tahun 1990-an sehingga 2000 di Malaysia.
Bagaimanapun, masa merubah bola sepak Malaysia dan kini boleh dilihat pihak yang berkuasa sudah memahami betapa pentingnya pembangunan akar umbi untuk masa depan bola sepak Malaysia. Baru-baru ini, pelbagai inisiatif yang positif telah diambil dan jika dilaksanakan dengan betul serta penuh kesabaran, kita akan dapat melihat Malaysia sekali lagi menjadi pesaing yang kuat di saingan AFC dalam lima ke tujuh tahun akan datang.
Perkara pertama yang Lim Teong Kim harus lakukan adalah menghantar anak-anak buahnya bermain di liga-liga tempatan. Kemudian beliau harus menghantar jurulatih-jurulatih tempatan ke kursus kejurulatihan supaya kanak-kanak tersebut diajar dengan teknik dan prinsip bola sepak yang betul sejak dari usia yang muda agar boleh diterapkan sepanjang hayat. Akhir sekali beliau perlu memastikan bahawa selain perlawanan mingguan, kanak-kanak ini harus dilatih paling minimum tiga kali seminggu.
Jurulatih-jurulatih senior di Malaysia sering merungut mengenai masa yang mereka perlukan pada sesi latihan kerana cuba untuk meningkatkan teknik-teknik pemain senior. Tentulah kerana pemain-pemain senior ini, walaupun bukan salah mereka, tidak menyempurnakan teknik dan kemahiran mereka semasa masih lagi dalam usia muda kerana program pembangunan akar umbi yang lemah pada zaman mereka. Maknanya, hanya bakat yang mentah sahaja yang ada setakat ini.
Sekolah-sekolah bola sepak di Bukit Jalil, Pahang dan Johor merupakan satu lagi perkara yang positif di Malaysia. Inisiatif ini adalah usahasama antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di mana pemain-pemain terbaik mengikut kumpulan usia masing-masing dipilih untuk menghadiri sekolah tersebut sebagai satu pasukan dan menghabiskan pelajaran mereka dan pada masa yang sama berlatih setiap hari di bawah kendalian jurulatih-jurulatih yang berkelayakan.
Akhir sekali kalau dari segi pasukan yang bertaraf kelab, JDT berada di landasan yang tepat apabila mengamanahkan Shebby Singh untuk menubuhkan liga-liga junior di seluruh negeri Johor. Shebby sangat dikenali di negara ini, malah terkenal dengan sikapnya yang suka berterus-terang dan pernah berkhidmat untuk Blackburn Rovers sebelum ini.
Jika Shebby menggunakan pengalaman, pengetahuan dan minatnya di program pembangunan akar umbi di JDT dengan cemerlang, memang tidak boleh dinafikan yang JDT mampu menghasilkan pemain-pemain tempatan yang berkualiti dalam masa 5 tahun akan datang. Ini akan jadi satu perkara yang baru dalam arena bola sepak di negara ini dan bakal menjadi contoh kepada pasukan-pasukan negeri lain untuk mengorak jejak langkah yang sama pada masa akan datang.
Di sebalik terdapat pelbagai perkara buruk yang telah diuar-uarkan tentang keadaan bola sepak Malaysia, masih lagi ada tanda-tanda positif masa kini dan untuk mengekalkan masa depan yang positif adalah melalui program pembangunan akar umbi yang berkualiti. Selama ini piramid adalah dari atas ke bawah, jika piramid sekarang boleh bermula dari bawah ke atas, tunggu dan lihat kerana saat yang indah bakal tiba.
Other posts by Omar Zin