Selepas meninggalkan Melaka United, nampaknya Ilija Spasojevic menjadi rebutan kelab-kelab Indonesia.
Bekas penyerang Persib Bandung itu nampaknya mula dirisik oleh kelab musuh ketat mereka, Persija Jakarta.
Terbaru, kelab yang berpengkalan di Jakarta itu telah menjemput Spaso untuk memperkuat pasukan mereka untuk perlawanan persahabatan menentang kelab La Liga, Espanyol.
Pengurus Besar Persija, Gede Widiade dilaporkan telah menjemput pemain Montenegro itu.
Dalam kenyataan Gede seperti yang dilaporkan oleh Kompas.com: “ Saya telah menjemput Spasojevic untuk perlawanan tersebut. Saya akan melihat bagaimana aksi Spasojevic dalam perlawanan menentang Espanyol.”
Persija sememangnya telah merancang untuk menjemput pemain luar untuk beraksi bersama kelab yang terkenal gelaran Macan Kemayoran itu bagi perlawanan berdepan Espanyol.
Namun, perkembangan terbaru menyaksikan Spaso telah menolak undangan tersebut ekoran masalah keluarga.
“Saya menghormati Pak Gede dan mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya untuk bermain bersama Persija untuk menentang Espanyol.
“Malangnya pada hari tersebut saya tidak dapat bermain kerana ada urusan keluarga.”
Other posts by Khairul Nizam