Football

Wan Kuzain Wan Kamal tandatangani kontrak penuh dengan kelab Liga Bolasepak Amerika

Langkah kecil menuju MLS.

Mungkin itu boleh dikatakan selepas pemain muda berbakat Wan Kuzain Wan Kamal menandatangani kontrak penuh United Soccer League (USL) bersama Swope Park Rangers.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini sudah berada dalam skuad utama Rangers tetapi sekadar dengan kontrak sebagai pemain akademi.

Bercakap kepada laman web rasmi akademi Sporting Kansas City, Wan Kuzain menyatakan kesediannya untuk berkerja keras.

“Saya rasa teruja dan gembira sekali. Saya mahu berterima kasih kepada Sporting Kansas City dan Swope Park Rangers kerana mempercayai saya dan saya tidak sabar untuk mula berlatih.”

Sementara itu, ketua jurulatih Rangers, Nikola Popovic menyatakan bahawa Wan Kuzain merupakan prospek terbesar dari akademi mereka.

“Saya rasa Kuzain adalah salah seorang prospek terbesar yang pernah kami ada dari akademi.

“Dia menunjukkan kepintaran dalam permainan, seorang pemain yang laju dan saya percaya jika kita berikan dia masa untuk berkembang dan meletakkan dia dalam persaingan sengit seperti di Swope Park Rangers, dia akan menjadi pemain yang perlu diperhatikan di masa hadapan.”

Pemain berdarah Malaysia itu telah membuat dua penampilan bersama Rangers musim ini – dua perlawanan pertama liga menentang OKC Energy FC dan Portland Timbers 2- pada Mac lalu.

Pada tahun 2015, Wan Kuzain pernah berlatih bersama akademi kelab Eredevisie Belanda, Feyenoord dan pernah beraksi untuk skuad bawah 17 tahun Amerika Syarikat.

Nampaknya kita mungkin akan melihat seorang anak Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti, tapi sayangnya dia bakal menyarung jersi Amerika Syarikat ketika itu.

 

Other posts by