Sudahlah pasukan kesayangan kalah, tertinggal bas pula untuk pulang.
Itulah antara cabaran yang perlu dilalui oleh penyokong bolasepak. Tertinggal bas, tiket hilang, pasukan tewas dan banyak lagi perlu mereka lalui demi cinta mereka kepada bolasepak.
Tiga orang penyokong Persib Bandung, yang dilaporkan oleh Antara sebagai Fahmi, Rama dan Sarif telah tertinggal bas ketika turun ke Pamekasan, Madura, Jawa Timur bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka menentang Madura United.
Apa yang menarik adalah, di saat mereka berada dalam kesusahan, para penyokong Madura United datang membantu mereka.
Penyokong MU yang terkenal dengan gelaran Taretan Dhibi’ itu membantu menghantar tiga penyokong itu ke Terminal Bas Ceguk Pamekasan untuk mereka pulang ke Bandung.
Selain itu mereka juga membantu tiga penyokong Persib itu dengan memberikan mereka wang untuk mereka makan dan minum.
“Mereka juga memberikan kami wang untuk makan dan minum dan pulang ke Bandung. Ini salah satu bentuk hubungan rapat di antara penyokong,” kata koordinator Taretan Dhibi’, Munadi seperti dilaporkan oleh Indosport.
Itulah keindahan dunia bolasepak. Kadang kala ianya boleh menimbulkan ketegangan di kalangan penyokong, tetapi kadang kala ia menunjukkan sisi indah dan manusiawi.
Dalam perlawanan yang dihadiri mereka, Madura United menewaskan Persib Bandung menerusi dua gol jaringan penyerang marquee mereka, Peter Odemwingie dan satu gol oleh Greg Nwekolo.Persib menjaringkan gol saguhati pada minit ke-82 menerusi jaringan Raphael Maitimo.
Hasil kemenangan itu, Madura United kini berada di tangga kedua Liga 1 Indonesia dengan 25 mata dari 13 perlawanan sementara Persib pula berada di tangga ke-11 selepas memungut 19 mata.
Other posts by Khairul Nizam