Nampaknya semua pasukan sudah mula melontarkan cabaran kepada semua pesaing bagi merebut pingat emas Sukan SEA di Kuala Lumpur Ogos nanti.
Terbaru, jurulatih skuad bawah 22 tahun Vietnam Le Thuy Hai menegaskan bahawa anak buahnya sudah bersedia untuk merebut pingat emas Sukan SEA nanti.
“Hanya ada 11 pasukan dalam rantau ini, jadi kami sudah biasa dengan kesemua pasukan.
“Undian hanya membantu kami dari segi persiapan, kerana kami tahu siapa yang kami akan berdepan nanti,” kata Le Thuy Hai dalam satu wawancara bersama vietnamnet.vn.
Jurulatih tersebut juga menyatakan bahawa anak buahnya perlu berani berdepan dengan mana-mana pasukan jika mahu merangkul gelaran juara yang dikatakan acara ibu segala emas itu.
“Saya tidak rasa ini kumpulan maut.
“Jurang di antara semua pasukan tidak jauh. Sudah tentu Thailand selangkah di hadapan kami, tetapi jika kami takut dengan Thailand, lebih baik kami duduk rumah.”
Anak buah bekas jurulatih yang memenangi gelaran juara Liga Vietnam bersama Da Nang dan Binh Duong itu diundi bersama Thailand, Indonesia, Kemboja, Timor Leste dan Filipina dalam Kumpulan B.
Kumpulan A pula disertai oleh tuan rumah, Malaysia, Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei.
Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir acara bolasepak lelaki Sukan SEA nanti.
Pencapaian terbaik Vietnam dalam acara bolasepak lelaki Sukan SEA adalah merangkul pingat perak pada tahun 2009, 2005, 2003, 1999 dan 1995.
Kali terakhir Vietnam layak ke perlawanan akhir Sukan SEA adalah pada tahun 2009 di Vientiane, Laos dan mereka tewas 1-0 kepada skuad bawah 22 tahun Malaysia yang dibimbing oleh Datuk K.Rajagobal.
Other posts by Khairul Nizam