Adakah suatu hari nanti jika pasukan kebangsaan Malaysia menentang skuad Indonesia, kita akan melihat kelibat Ilija Spasojevic bermain menentang Safiq Rahim?
Penyerang yang berasal dari Montenegro itu dikhabarkan sudah mula menjalani proses untuk mendapatkan kewarganegaraan Indonesia yang dibantu oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Perkara ini disahkan oleh Spasojevic sendiri ketika dia hadir untuk menyaksikan perlawanan di antara Persija Jakarta menentang Persipura Jayapura di Stadium Patriot, Bekasi pada hari Sabtu lalu.
Bekas penyerang Melaka United itu dalam laporan Juara.net menyatakan bahawa dia tidak sabar menyarung jersi Indonesia.
“Ya, proses ini sedang dibantu oleh PSSI. Semoga saya dapat menjadi warganegara Indonesia secara rasmi dengan segera. Saya mahu beraksi untuk pasukan kebangsaan Indonesia.”
Spaso layak untuk mendapat kewarganegaraan Indonesia selepas tinggal di Indonesia selama lima tahun berturut-turut serta fasih berbahasa Indonesia. Selain itu, Spaso juga mengahwini seorang warga Indonesia dan mempunyai dua anak yang lahir di negara tersebut.
“Isteri saya rakyat Indonesia. Sayangnya, pemerintah Montenegro tidak membenarkan rakyatnya mempunyai dua kerakyatan.”
Selepas dilepaskan oleh Melaka United dalam jendela perpindahan pertengahan musim, Spasojevic kini dikhabarkan sedang dirisik oleh tiga kelab dari Indonesia dan salah satu darinya dikatakan Persib Bandung yang sedang mencari penyerang baru ekoran ketumpulan bahagian serangan mereka.
Other posts by Khairul Nizam