Football

Pegawai Polis buat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan Ghana

Dengan status profesional seorang pemain bolasepak zaman sekarang, kita jarang melihat pemain bolasepak melakukan dua kerja kecuali selepas mereka bersara.

Ini berbeza dengan pemain di zaman semi-pro dahulu di mana semua pemain membuat dua kerja untuk menampung kehidupan mereka. Ada yang berkerja sebagai kerani, pegawai polis dan pekerjaan lain walaupun bergelar pemain bolasepak.

Apabila menyebut pasukan Ghana, kita pasti membayangkan pemain hebat seperti Michael Essien dan Asamoah Gyan yang beraksi bersama kelab ternama Eropah sebelum ini.

Seorang pegawai polis Ghana yang selama ini mengawal keselamatan pasukan bolasepak kebangsaan Ghana telah membuat penampilan pertamanya untuk pasukan kebangsaan Ghana dalam perlawanan menentang Amerika Syarikat.

Dalam perlawanan persahabatan yang berakhir dengan kekalahan 2-1 Ghana itu, Samuel Sarfo telah masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-81.

Menggambarkan ianya sebagai ‘mimpi menjadi kenyataan’, Sarfo menyatakan kepada BBC bahawa dia membesar bersama ramai pemain dalam pasukan kebangsaan.

“Ianya bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Ini impian semua anak muda yang membesar di Ghana, untuk menyarung jersi kebangsaan.”

Sarfo mula dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Ethiopia pada Jun lalu.

Walaupun bermain bersama skuad kebangsaan, Sarfo kekal aktif sebagai seorang pegawai polis dan turut menjadi ketua pasukan untuk kelab Liberty Professionals dalam saingan liga tempatan Ghana.

Mungkin suatu hari nanti Sarfo boleh menyertai PDRM di Liga Super Malaysia.

 

Other posts by