Football

West Brom dapatkan pemain muda berbakat China

Kelab Liga Perdana Inggeris, West Bromwich Albion mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani pemain kebangsaan China, Yuning Zhang dengan kontrak tiga tahun.

West Brom mengumumkan kehadiran pemain berusia 20 tahun itu yang dikatakan prospek muda China menerusia laman web rasmi mereka. Kelab tersebut juga mengumumkan Zhang akan menyertai kelab Bundesliga, Werder Bremen secara pinjaman untuk dua musim.

Zhang yang sebelum ini beraksi bersama kelab liga Belanda, Vitesse Arnhem sejak 2015 dipinjamkan ke kelab Jerman tersebut kerana kesukaran mendapatkan permit kerja serta merta.

Kesukaran ini berlaku kerana China tidak berada dalam kedudukan 50 pasukan terbaik dunia menurut FIFA, jadi dengan meminjamkannya ke Werder Bremen, West Brom berharap dia akan dapat menaikkan tahap permainannya.

Pengarah Pentadbiran Bolasepak West Brom, Richard Garlick berkata bahawa mereka akan sentiasa memantau perkembangan Zhang di Jerman.

“Zhang akan mendapat peluang untuk berkembang di Bremen, di mana kami mempunyai hubungan baik.

“Dia akan mencabar untuk merebut tempat dalam salah satu liga terbaik Eropah dan kami akan memantau perkembangannya sebelum menilai prospeknya di hujung tempoh pinjaman nanti. Tidak dapat dinafikan bahawa dia mempunyai banyak kualiti yang boleh dikembangkan oleh Bremen.

“Perkembangannya akan menarik minat bukan sahaja kami di Albion, tetapi juga di Jerman dan di China. Tidak dapat dinafikan bahawa ada kelebihan dari sudut komersial tetapi sasaran utamanya adalah untuk membangunkan salah seorang bakat muda dalam industri bolasepak.”

Zhang merupakan satu pemain yang popular di China selepas dia menjaringkan dua gol dalam penampilan pertamanya bersama pasukan China dalam perlawanan persahabatan menentang Trinidad & Tobago tahun lalu.

Sejak itu, dia menjadi pemain tetap China di bawah kendalian Marcelo Lippi dan menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol di Eredivisie selepas berpindah ke Vitesse dari Hangzhou Greentown.

Other posts by