Football

Video, Twitter dan Snapchat : Kelab Liga Inggeris kreatif perkenal pemain baru

Dengan perkembangan teknologi zaman sekarang, semua kelab bolasepak perlu sentiasa mengikuti peredaran zaman untuk terus menarik minat penyokong.

Antaranya adalah dengan penggunaan media sosial. Hampir semua kelab tempatan dan antarabangsa mempunyai media sosial sendiri. Media sosial bukan sekadar medium untuk berkongsi maklumat, tetapi ia juga boleh digunakan sebagai medium pemasaran.

Sebelum ini, kelab menggunakan laman Twitter untuk menyebarkan info mengenai pasukan atau kelab. Namun, semenjak dua menjak ini, banyak kelab di England sudah mula kreatif. Laman Twitter bukan sahaja digunakan untuk memperkenal jersi terbaru pasukan, tetapi juga memperkenal pemain baru.

Jika sebelum ini, semua kelab sekadar memperkenal pemain dengan menyiarkan gambar mereka menyarung jersi, menandatangani kontrak atau bergambar di depan logo kelab, tetapi kini mereka telah menggunakan cara yang lebih kreatif.

Ini tiga contoh terbaik dan terkini kelab-kelab England memperkenal pemain.

  1. Everton

Untuk memperkenal dua pemain baru mereka, Michael Keane dan Sandro Ramirez, Everton menghasilkan video yang menunjukkan pandangan seakan-akan dari dua pemain tersebut. Video-video yang dimuat naik di laman Twitter rasmi kelab itu menunjukkan perjalanan Keane dan Sandro dari lapangan terbang (untuk Sandro) ke pusat latihan mereka dan seterusnya di penghujung video kamera dipusingkan untuk menunjukkan wajah Keane dan Sandro.

 

  1. Aston Villa

Kelab yang beraksi di Liga Kejohanan ini mencipta kejutan apabila berjaya mendapatkan pemain pertahanan legenda Chelsea, John Terry untuk memperkuat pasukan. Apa yang menarik, mereka mengumumkan kehadiran Terry ke pasukan dengan menghasilkan video yang menunjukkan seakan-akan perbualan di dalam ‘group whatsapp’.

Video dimulakan dengan perbualan pemilik Aston Villa, Dr. Tony Xia dan pengurus pasukan Steve Bruce mengenai adakah urusan perpindahan Terry sudah selesai atau tidak. Sebaik sahaja Dr. Tony memasukkan Terry ke dalam group whatsapp tersebut, penyerang Villa, Gabriel Agbonlahor mengucapkan selamat datang kepada Terry dan menyatakan akhirnya kelab memiliki pemain pertahanan terhebat. Kata-kata tersebut telah menyebabkan beberapa pemain lama dan legenda kelab seperti Martin Laursen, Olof Mellberg dan Paul McGrath meninggalkan group whatsapp itu. Kreatif!

 

 

  1. Yeovil Town

Nampaknya bukan kelab di Liga Perdana dan Liga Kejohanan sahaja yang kreatif. Tetapi Yeovil yang bermain di League Two juga mahu turut serta! Menggunakan gabungan dua aplikasi media sosial, Twitter dan Snapchat, kelab digelar The Glovers ini memperkenal pemain tengah baru pasukan, Jake Gray. Laman Twitter rasmi Yeovil menyiarkan video yang menunjukkan kebolehan baru Snapchat, untuk melihat siapa berada di sekitar kita. Seterusnya video fokus ke arah stadium Yeovil, Huish Park dan dapat dilihat ada dua orang berada di stadium tersebut. Rupa-rupanya salah seorang darinya adalah Jake Gray. Video bertukar dan menunjukkan Jake Gray memperkenal dirinya sebagai pemain baru Yeovil Town FC.

 

Dengan jendela perpindahan baru dibuka, pastinya kita akan melihat lebih banyak idea kreatif dari semua pasukan terutamanya dari England. Semua kelab pasti sedar impak idea-idea kreatif ini untuk menarik minat penyokong. Lihat saja seperti pengumuman Paul Pogba pada musim lalu. Tidak sabar pula untuk terus melihat kelab-kelab ini bersaing kreativiti selain daripada kehadiran pemain-pemain baru dalam liga musim hadapan!

Other posts by