Football

Luis Suarez “ditumbangkan”, pihak polis tangkap pesalah

Kita sering mendengar jenaka mengenai bagaimana Luis Suarez seorang pemain yang sering ‘jatuh’. Ada sebilangan peminat dan pemain yang cukup geram dengan tipu muslihat pemain Barcelona itu yang dilihat kadang kala mengambil kesempatan di atas setiap sentuhan yang berlaku, terutamanya dalam kotak penalti.

Tapi, siapa sangka, bukan Luis Suarez ‘pemain’ sahaja yang sukar berdiri tegak, tetapi Luis Suarez versi patung juga tidak dapat berdiri lama.

Satu monumen pemain berkenaan yang dibina di bandar Salto sebagai penghargaan kepada pemain berkenaan telah dijatuhkan pada hari Sabtu, hari di mana Luis Suarez bersama rakan sepasukannya yang lain di Barcelona sedang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan Lionel Messi.

Nota yang bertulis: “Saya pergi ke majlis perkahwinan Messi, saya akan pulang dengan segera.”
Photo credit: Daily Mail UK

Apa yang melucukan, ketika patung itu dibawa oleh pihak bertanggungjawab untuk diperbaiki, satu nota telah diletakkan di lokasi patung itu, yang bertulis: “Saya pergi ke majlis perkahwinan Messi, saya akan pulang dengan segera.”

Menurut media tempatan, indvidu yang bertanggungjawab menolak patung tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa. Masih tiada khabar berita sama ada individu berkenaan diberikan kad kuning atau kad merah di atas kesalahannya itu kerana kita tahu Luis Suarez tidak boleh menerima sentuhan walaupun sekadar sentuhan minimal.

Mungkin pihak berkuasa perlu melihat rakaman video dari pengadil bantuan untuk menentukan hukuman yang diberikan. Harap ianya tidak akan mengganggu permainan seperti di Piala Konfederasi yang lalu.

Patung Luis Suarez itu telah dirasmikan pada bulan Julai tahun lalu dan terletak di salah satu kawasan paling sibuk di bandar tersebut. Pasti sukar untuk semua yang lalu di situ untuk tidak menyentuh patung Suarez itu. Selepas ini mungkin patung tersebut patut diletakkan di tengah padang pasir yang tiada orang atau binatang.

Other posts by