Nampaknya kemahiran dan skil tidak cukup untuk seorang pemain berkelanan ke luar negara.
Untuk beraksi di luar negara, seorang pemain perlu mempunyai mental yang kuat dan sanggup berkorban untuk mencapai kemuncak prestasi serta bermain dalam skuad utama.
Bintang sensasi Kemboja, Chan Vathanaka yang dipinjamkan ke kelab Jepun, Fujieda MYFC dari Boeung Ket Angkor selama satu musim nampaknya masih belum dapat menunjukkan bakatnya.
Menyertai kelab di liga divisyen ketiga Jepun itu pada Januari lalu, Vathanaka masih belum membuat penampilan untuk kelab tersebut dalam perlawanan liga dan hanya beraksi saingan Suruga Cup Challenge.
Pemain berusia 23 tahun itu dikatakan masih belum mempunyai stamina dan disiplin dari segi taktikal untuk beraksi dalam skuad utama Fujieda.
Masalah ini membuatkan pengurus besar Boeung Ket Angkor, Be Makara terbang ke Jepan untuk mengadakan perbincangan bersama pihak kelab Jepun itu.
Namun, Presiden Fujieda, Jun Koyama dalam satu wawancara bersama Fox Sports Asia mengatakan mereka masih mahu memberi masa untuk Vathanaka dan enggan memulangkan pemain muda itu dalam masa terdekat.
“Vathanaka masih berjuang di Jepun, dia berusaha dengan keras. Beri dia sedikit masa dan teruskan menyokongnya.”
Untuk membantu Vathanaka, Fujieda FC dikhabarkan memberikannya satu latihan khas bersama jurulatih khusus selepas ketua jurulatih, Atsuto Oishi, mengatakan Vathanaka tidak sekuat rakan sepasukannya dari Jepun.
Apa yang membanggakan, perkara ini tidak mengganggu Vathanaka bahkan membuatkan dia lebih bersemangat untuk mendapatkan pengalaman beraksi di Jepun.
“Penyokong di Kemboja ingin melihat saya bermain, jadi mereka ingin saya pulang. Tapi, saya ingin terus berada di sini dan mengembangkan diri saya di Jepun. Saya mensasarkan untuk berada dalam kesebelasan utama.”
“Saya pemain pertama dari Kemboja yang beraksi di Jepun. Saya ingin membuktikan bahawa pemain dari Asia Tenggara mampu bermain baik di tahap tertinggi. Jepun sering layak ke Piala Dunia, tetapi Kemboja belum sampai ke tahap itu. Saya mahu belajar sepanjang berada di Jepun, bukan sekadar mengenai bolasepak tetapi juga skil personal.”
Chan Vathanaka mengejutkan seluruh Asia Tenggara apabila menunjukkan aksi hebat di Piala AFF Suzuki 2016. Kehebatannya dikhabarkan menarik minat banyak kelab termasuk kelab Malaysia, Selangor FA.
Other posts by Khairul Nizam