Football

Kesemua 92 kelab Liga Inggeris diminta periksa stadium untuk elak tragedi kebakaran

Selepas kejadian kebakaran di Menara Grenfell, kesemua 92 kelab di Liga Inggeris telah diarahkan memeriksa mana-mana pelapis yang ada di stadium mereka yang berisiko untuk terbakar.

Pihak berkuasa England telah menghantar surat kepada kesemua 92 pasukan yang bermain di Liga Perdana Inggeris dan Liga Bolasepak Inggeris termasuk Stadium Wembley dan Stadium Principality Cardiff ekoran kerisauan terhadap bahan yang digunakan dalam pembinaan yang menjadi punca api merebak dengan pantas ketika kejadian di Kensington Utara yang lalu.

Pihak berkuasa tempatan yang bidang kuasa mereka termasuk kelab bolasepak dan yang menjalankan pemeriksaan keselamatan juga akan dihubungi untuk menyedarkan mereka mengenai potensi isu berkenaan oleh Pihak Keselamatan Kawasan Sukan (SGSA) termasuk bagi sukan kriket, kesatuan ragbi dan kelab liga ragbi.

Ketua Inspektor SGSA, Ken Scott ketika dihubungi SportsMail berkata: “Kami sedar akan apa yang terjadi di Menara Grenfell dan kami sedang mengikuti perkembangannya. Banyak stadium bolasepak menggunakan lapisan luar.

“Kami akan menulis kepada semua pihak berkuasa tempatan untuk menyedarkan mereka mengenai situasi ini. Setiap stadium memerlukan pemeriksaan rapi. Mereka memiliki sistem penghalang api yang aktif dan pasif termasuk penggera kebakaran dan pemadam api – tetapi kita tidak boleh leka.”

Setakat ini, 80 mangsa telah dilaporkan terkorban ekoran kebakaran yang terjadi di Kensington, London Barat itu.

Pihak polis telah memberi amaran bahawa jumlah sebenar kematian mungkin hanya akan dapat diketahui pada hujung tahun ini.

Other posts by