Nampaknya masa buat penyerang berstatus ‘Marquee Player’ Persib Bandung, Carlton Cole akan tamat dalam tempoh terdekat.
Walaupun Liga 1 Indonesia masih mempunyai baki enam perlawanan sebelum separuh musim pertama berakhir dan jendela perpindahan pertengahan musim dibuka, Persib Bandung sudah mula mencari pemain baru dan kemungkinan besar penyerang import.
Jurulatih Persib, Djadjang Nurdjaman tidak memberikan bayangan mengenai pemain mana yang menjadi perhatian mereka tetapi dia menyatakan bahawa penyerang import akan dibawa masuk bagi separuh musim kedua nanti.
Djanur turut memberi bayangan bahawa pemain baru ini mungkin pernah bermain di Indonesia.
Djadjang berkata demikian dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh laman web sukan Indonesia, Juara.net pada hari Rabu.
“Buat masa ini, kami sudah melihat-lihat dan mencari. Namun, masih belum ada nama-nama khusus. Tetapi, kalau saya boleh beritahu, ada dua pilihan, ada pemain yang baru dan yang sudah pernah bermain di Indonesia.”
“Kami tidak mencari pemain tempatan, kami menumpukan perhatian untuk pemain luar sahaja, dia boleh berasal dari Perancis, Nigeria atau Brazil. Untuk apa yang terjadi dahulu, kami jadikan pelajaran, harus lebih selektif dan jangan tersalah pilih.
“Oleh sebab itu, kami masih memikirkan sama ada untuk mengambil pemain yang pernah bermain di Indonesia atau yang belum pernah bermain di sini.”
Pastinya berita ini memberi petanda bahawa Carlton Cole bakal dilepaskan selepas mempamerkan aksi hambar buat Persib Bandung di Liga 1 Indonesia 2017.
Buat masa ini, Persib mempunyai dua penyerang iaitu Carlton Cole dan Sergio Van Dijk. Sergio telah mengalami kecederaan selepas perlawanan menentang Barito Putera sementara Carlton Cole terus tumpul buat Persib.
Other posts by Khairul Nizam