Perkara biasa buat kelab luar menggunakan kesempatan kerjasama dengan negara lain untuk memperluas populariti mereka dan mencari bakat baru di negara tersebut.
Kelab dari La Liga Sepanyol, Espanyol akan mencari bakat baru dan memberikan peluang kepada pemain muda di Indonesia untuk menjalani latihan di Barcelona.
Sebelum ini, bekas ketua pasukan bawah 19 tahun Indonesia, Evan Dimas pernah mendapat peluang seperti itu dan kini mereka mahu mencari dua orang pemain remaja dari Indonesia untuk diberi peluang yang sama.
Program pencarian bakat ini akan dijalankan di lima bandar besar di Indonesia iaitu Jakarta, Bandung, Palembang, Makassar serta Surabaya dan akan dijalankan pada 9 September hingga 1 Oktober tahun ini.
10 pemain dari setiap bandar akan dipilih oleh pencari bakat dan sejumlah 50 pemain remaja akan menjalani ujian terakhir di Jakarta. Di antara 50 pemain remaja tersebut, hanya dua orang pemain akan dipilih untuk berlatih bersama kelab berasal dari Catalan itu.
Program pencarian bakat itu disambut baik oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI). Menurut Timbalan Setiausaha Agung PSSI, Fanny Riawan, program tersebut selaras dengan program pemain muda PSSI seperti dilaporkan oleh Bola.com.
“Ada dua perkara yang boleh kita dapatkan dari program ini. Pertama, Indra Sjafri memang sedang giat melakukan perlawanan antarabangsa sebagai persiapan untuk Piala AFF Bawah 18 tahun dan kelayakan Piala Asia Bawah 19 tahun.
“Kedua, program pencarian bakat ini akan membantu Indonesia untuk meraih sasaran seperti yang ditunjukkan oleh pasukan bawah 16 tahun Indonesia, iaitu meraih kejuaraan Asia. Semoga program ini akan dapat membantu dan saya sangat berterima kasih kepada Espanyol untuk itu.”
Other posts by Khairul Nizam