Athletics, KL 2017

Felicia Mikat azam perbaiki catatan masa dan raih pingat di Sukan Para Asean

Pada tahun 2015, kecoh di media sosial mengenai seorang atlet Para negara yang memenangi pingat tetapi tidak mendapat sambutan meriah ketika pulang dari kejohanan Sukan Para Asean.

Namun, perkara tersebut telah dinafikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa atlet tersebut disambut oleh pegawai-pegawai sukan Sabah.

Namun, segalanya berubah selepas Malaysia meraih tiga pingat emas di Sukan Paralimpik Rio pada tahun lalu. Rakyat Malaysia sudah mula mengambil tahu dan menyokong atlet Para negara.

Atlet yang menjadi sebutan di laman sosial pada tahun 2015 itu bakal beraksi lagi di Sukan Para Asean yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dan dia mengharapkan agar rakyat Malaysia akan turun ke stadium menyokong semua atlet Malaysia.

Felicia Mikat, pemenang pingat emas Sukan Para Asean 2015 dalam acara 100m, 200m dan 400m wanita bagi kategori T13 (masalah penglihatan) berazam untuk menujukkan aksi terbaik buat rakyat Malaysia.

“Tahun ini sasaran saya adalah untuk perbaiki catatan masa. Bagi saya kalau dapat pingat itu bonus. Sukan Para Asean yang sebelum ini adalah yang pertama buat saya dan ini kali kedua saya menyertainya,” kata Felicia baru-baru ini.

Selain itu, Felicia juga menyatakan bahawa semua persiapannya untuk beraksi di Sukan Para Asean pada bulan September nanti berjalan lancar.

“Semua persiapan setakat ni baik. Latihan juga baik. Bagi saya, semuanya berjalan lancar.”

Pastinya rakyat Malaysia mampu memberikan sokongan padu kepada semua atlet sama ada yang beraksi di Sukan SEA atau Sukan Para Asean nanti. Sokongan padu ini akan membantu memberikan semangat dan motivasi kepada semua atlet untuk meraih sebanyak mungkin pingat emas dan mengharumkan nama negara.

Sukan Para Asean yang kesembilan akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 hingga 23 September nanti.

Other posts by