Football

Jurulatih Thailand sasar jadi 10 pasukan terbaik Asia

Jurulatih baru Thailand , Milovan Rajevac dapat melihat potensi dalam pasukan Thailand walaupun mereka seri 1-1 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Rajamangala yang lalu.

Jaringan minit akhir oleh Ali Ahmed Mabkhout memadamkan hasrat tuan rumah untuk menang menerusi jaringan Mongkol Thosakrai pada minit ke-70 sekaligus mencuri satu mata dari pasukan Gajah Perang.

Namun, bekas jurulatih Ghana itu dapat melihat potensi dan percaya anak buahnya mampu meningkatkan tahap mereka selepas perlawanan tersebut.

“Saya gembira dengan persembahan kami,” kata Rajevac dalam sidang media.

“Walaupun kami gagal untuk menang, tetapi ianya keputusan yang baik kerana kami hanya mempunyai masa yang singkat untuk mempersiap pasukan.

“Pemain Thailand mempunyai bakat dan potensi. Mereka sanggup berkerja keras. Mereka memahami taktik saya dan tugas mereka. Mereka juga dahagakan kejayaan.

“Semua faktor ini akan membantu kami bergerak ke arah yang betul. Jika kami berkerja keras dan saya mempunyai masa yang lebih panjang, saya percaya kami boleh menjadi 10 pasukan terbaik di Asia.”

Thailand kini sudah terkeluar dari persaingan bagi merebut tempat ke Piala Dunia 2018 di Russia selepas hanya mampu memungut dua mata dari lapan perlawanan.

Baki dua lagi perlawanan Thailand adalah menentang Iraq di tempat sendiri pada 31 Ogos dan menentang Australia di tempat lawan pada 5 September nanti.

Pastinya dua perlawanan ini akan menjadi kayu pengukur bagi melihat peningkatan pasukan Thailand di bawah bimbingan jurulatih berusia 63 tahun itu. Rajevac mensasarkan untuk menewaskan Iraq dan memungut tiga mata pertama mereka dalam saingan kelayakan Kumpulan B ini.

Other posts by