Football

Bintang sensasi Thailand Chanatip sasar kejayaan di J-League

Pemain mana yang tak mahu mengembangkan kerjaya ke luar negara. Buat pemain dari Asia Tenggara, jika tidak dapat ke Eropah, tempat terbaik untuk mengembangkan kerjaya adalah di negara Asia Timur seperti Jepun.

Buat bintang sensasi Thailand, Chanatip Songkrasin, masanya telah tiba untuk dia membuktikan bahawa pemain dari Asia Tenggara mampu beraksi di J-League.

Chanatip yang terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang UAE yang lalu disebabkan kecederaan telah menyertai kelab J-League, Consodale Sapporo secara pinjaman dan berharap akan mencapai kejayaan di Jepun.

“Saya merupakan pemain Thailand pertama beraksi di J-League dan saya berharap saya akan berjaya,” kata pemain Muangthong United itu seperti dilaporkan Bangkok Post.

Bercakap mengenai kecederaannya, Chanatip berkata: “Kecederaan saya semakin pulih, tetapi belum sepenuhnya. Saya mengambil masa untuk berehat dan terlepas dari perlawanan menentang UAE kerana saya perlu berkerja dengan ahli physio.”

“Saya mahu mempersiapkan diri saya kerana merawat kecederaan di Jepun sebaik sahaja tiba di kelab tidak akan membantu saya.

“Saya akan berdepan banyak cabaran di sana, termasuk dari segi bahasa, tetapi tugas paling utama adalah mencari peluang untuk bermain.

“Saya perlu terus meningkatkan keupayaan dan percaya saya mampu mencapai sasaran di Jepun kerana tahap bolasepak di sana lebih tinggi daripada di Thailand.”

Chanatip menyertai Consodale Sapporo secara pinjaman dari Muangthong United selama 18 bulan.

Other posts by