Football

Penyokong Buriram United mahu Kiatisuk Senamuang sebagai jurulatih pasukan

Selepas penyokong Persib meminta Kiatisuk menjadi jurulatih mereka, nampaknya ada penyokong kelab lain juga yang mahukan bekas jurulatih Thailand itu menjadi jurulatih kelab mereka.

Penyokong Buriram United meminta kelab berkenaan mendapatkan Kiatisuk Senamuang atau lebih dikenali sebagai Zico untuk menjadi jurulatih mereka ekoran perletakan jawatan jurulatih asal mereka, Ranko Popovic.

Penyokong kelab yang berpengkalan di daerah Buriram, Thailand itu membanjiri laman Facebook kelab untuk meminta agar pihak pengurusan mendapatkan Kiatisuk untuk menggantikan tempat Popovic.

Kiatisuk yang masih belum berkerja selepas meletakkan jawatan sebagai jurulatih Thailand pada bulan Mac, kini sedang meneruskan pelajaran di Korea Selatan bagi mendapatkan lesen kejurulatihan tinggi.

Jurulatih asal Buriram, Ranko Popovic meletakkan jawatan selepas digantung selama tiga bulan oleh Persatuan Bolasepak Thailand (FAT). Jurulatih berasal dari Serbia itu digantung dan didenda 40,000 baht selepas didapati bersalah menampar muka physio Bangkok United Andy Schilinger ketika perlawanan di mana Buriram menewaskan Bangkok United 2-1.

Buriram menghantar rayuan untuk kes tersebut tetapi ditolak oleh jawatankuasa disiplin FAT. Walaupun menegaskan bahawa dia tidak bersalah dalam insiden tersebut, Popovic membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana tidak dapat bertugas selama tiga bulan dan untuk bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi.

Kelab yang terkenal dengan jolokan The Thunder Castle itu menyatakan bahawa mereka akan mendapatkan jurulatih baru sebelum separuh musim kedua liga bermula pada hujung minggu ini.

Other posts by