Football

Syarikat Thailand lengkapkan pembelian kelab Belgium

Bolasepak seakan-akan menjadi permainan monopoli buat golongan usahawan yang kaya sekarang.

Mereka membeli pasukan atau kelab seakan-akan seperti rakyat marhaen membelanjakan wang untuk membeli barang dapur di kedai runcit.

Selepas berjaya membawa Leicester City mencipta kejutan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/2016, pemilik Leicester City, King Power Group melihat untuk membesarkan lagi empayar bolasepak mereka.

Syarikat yang berpengkalan di Thailand itu telah melengkapkan pembelian kelab Liga Proximus Belgium, Oud-Heverlee Leuven.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat itu, Aiyawatt Srivaddhanaprabha, yang juga naib pengerusi Leicester, telah dilantik ke dalam lembaga kelab berkenaan selepas pemilikan 92 peratus disempurnakan.

Dua lagi pegawai dari Leicester City- ketua pegawai eksekutif Susan Whelan dan Pengarah Bolasepak Jon Rudkin-akan menyertai Srivaddhanaprabha ke lembaga OHL.

OHL hampir tersingkir buat kali kedua musim lalu selepas tersingkir dari liga divisyen utama Belgium, Pro League di penghujung musim 2015/2016.

Srivaddhanaprabha berkata seperti dilaporkan oleh skysports: “Ini merupakan perkembangan menarik untuk King Power Group dan satu peluang untuk kami berkerja dengan satu kelab beraspirasi supaya mereka sedar potensi mereka.

“Menerusi pelaburan yang mampan dari segi tenaga kerja dan kemudahan, hubungan dengan penyokong dan menggerakkan kelab dalam masyarakat, ianya menjadi objektif jangka masa panjang kami untuk meletakkan kembali OH Leuven sebagai pesaing dalam liga utama Belgium.

“Kami tidak sabar untuk berkerja dengan pengurusan dan petugas sedia ada di OHL, di mana pengetahuan dan kepakaran mereka berkenaan kelab dan komuniti akan menjadi penting untuk pelaksanaan satu pelan pembangunan jangka masa panjang.”

Other posts by