Jurulatih ini merupakan antara jurulatih yang semakin meningkat namanya di Asia Tenggara.
Sejak meninggalkan pasukan kebangsaan Thailand, lelaki bernama Kiatisuk Senamuang atau lebih dikenali dengan panggilan Zico, menjadi rebutan banyak kelab di Asia Tenggara.
Ramai penyokong dari pelbagai pasukan membanjiri laman media sosial Zico untuk merayu agar jurulatih berusia 43 tahun dari Udon Thani ini untuk menyertai pasukan mereka.
Antaranya adalah penyokong dari kelab Indonesia, Persib Bandung. Penyokong Persib atau lebih dikenali sebagai Bobotoh membanjiri laman instagram Zico untuk merayu agar jurulatih tersebut menggantikan jurulatih sedia ada, Djadjang Nurdjaman.
Namun, bekas pemain Perlis itu menolak berita yang mengatakan bahawa dia bakal menggantikan Djadjang Nurdjaman di Persib walaupun pasukan tersebut mempunyai pemain berstatus marquee player, Michael Essien dan Carlton Cole.
Kiatisuk berkata demikian dalam satu wawancara bersama media Indonesia, Tirto.id.
“Saya sangat yakin bahawa ketika ini Persib sudah memiliki seseorang yang cukup baik untuk mereka.
“Tentu saya tahu dan hormat kepada bobotoh dan Persib. Saya hormati semua komen mereka (mengenai melatih Persib).”
Kiatisuk turut memberi jawapan mengenai masa depannya dengan mengatakan buat masa ini dia mahu menyelesaikan lesen kejurulatihan AFC terlebih dahulu sebelum memilih untuk meneruskan kerjayanya di mana.
“Saya tidak boleh bercakap mengenai hal ini sekarang kerana ramai rakan-rakan saya di Malaysia, Vietnam dan Indonesia. Mereka semua baik. Dan saya hanya seorang jurulatih Thailand yang kebetulan menganggur. Jadi saya akan berterima kasih kepada semua pihak yang sedang cuba untuk membantu saya.
“Seperti yang saya katakana, saya ingin menyelesaikan lesen kejurulatihan AFC terlebih dahulu. Saya akan mencari pekerjaan di luar negeri jika ada sesuatu perkara yang menarik dalam diri saya untuk diimplimentasikan di luar negeri.”
Pastinya tidak sukar untuk Kiatisuk Senamuang mencari peluang baru apabila tiba masanya nanti. Berdasarkan rekodnya bersama pasukan Thailand, tidak hairan kelab dan pasukan kebangsaan di luar Thailand cukup berminat untuk mendapatkannya. Zico turut dikatakan antara jurulatih yang diintai untuk menjawat jawatan sebagai jurulatih Malaysia sebelum jawatan tersebut diberikan kepada Nelson Vingada.
Other posts by Khairul Nizam