Athletics

Ziyad raih pingat emas di Terbuka Thailand, atasi rekod pemenang pingat perak Sukan SEA

Memang luar biasa.

Begitulah yang boleh dikatakan mengenai kemenangan atlet Para negara, Ziyad Zolkefli di Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Thammasat di Bangkok, semalam.

Ziyad meraih pingat emas selepas berjaya melontar sejauh 17.07m dalam cubaan kelimanya sekaligus menewaskan dua peserta tuan rumah yang meraih pingat perak dan gangsa.

Seorang lagi peserta Malaysia, Adi Aliffuddin Hussin sekadar menduduki tempat keempat selepas melontar sejauh 15.96m dalam lontaran keempatnya.

Jarak lontaran pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio itu sebenarnya lebih jauh daripada catatan jarak pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 dari Thailand Chatchawal Polyjam.

Ziyad meluahkan rasa gembiranya itu di laman instagram peribadinya.

“Alhamdulillah dapat mengharumkan nama negara sekali lagi di Thailand Open, catatan balingan 17.07m di balingan kelima. Syukur tak terhingga.”

Ziyad dan juga seorang lagi atlet Para negara, Abdul Latif Romly dikatakan bakal membuat penampilan untuk bertanding dalam Sukan SEA dan juga Sukan Para Asean di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Penampilan dua pemenang pingat emas Paralimpik ini pastinya akan menarik perhatian rakyat Malaysia dan peminat sukan dari seluruh Asia Tenggara kerana belum pernah ada atlet Para yang bertanding melawan atlet normal sebelum ini.

Kegigihan dan usaha yang ditunjukkan dua atlet kelainan upaya ini benar-benar membuktikan bahawa mereka sememangnya insan yang luar biasa dan cukup hebat sekali.

Other posts by