Football

Syarikat minuman tenaga Thailand taja Piala Liga England

Nampaknya pengaruh Asia Tenggara semakin meluas di Liga Perdana Inggeris.

Sebelum ini, kita sudah melihat begitu banyak syarikat atau usahawan dari Asia Tenggara yang melibatkan diri dengan Liga Perdana Inggeris. Sama ada mereka menaja pasukan atau pengadil.

Lihat saja seperti Air Asia yang menaja pasukan QPR, Vincent Tan dengan Cardiff City atau King Power yang menaja juara Liga Perdana Inggeris 2016, Leicester City.

Kini, mereka mengorak langkah dengan menaja kejohanan di England pula.

Syarikat minuman tenaga yang berpengkalan di Thailand, Carabao telah menjadi penaja baru untuk kejohanan Piala Liga atau League Cup. Kejohanan tersebut sebelum ini ditaja oleh Capital One, sebuah bank dari Amerika Syarikat.

Kejohanan piala tersebut akan dinamakan Carabao Cup bagi musim hadapan menggantikan Capital One Cup pada musim lalu.

Undian pusingan pertama Piala Carabao akan diadakan pada hari Jumaat ini pada pukul 1 tengahari waktu United Kingdom atau 8 malam waktu Malaysia.

Apa yang menariknya adalah undian tersebut akan diadakan di Bangkok, Thailand oleh bekas pemain Arsenal dan Chelsea Emmanuel Petit, CEO Carabao Satthien Setthasit, duta Britain ke Thailand Brian Davidson dan Ketua Pegawai Eksekutif EFL Shaun Harvey.

Undian tersebut akan disiarkan secara langsung di Facebook Carabao Cup dan laman Facebook Carabao UK. Sebanyak 35 perlawanan akan berlangsung pada pusingan pertama nanti.

Antara pasukan yang akan berada dalam undian pusingan pertama nanti adalah pasukan-pasukan yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris seperti Aston Villa, Birmingham City dan Wolverhampton Wanderers.

Semua perlawanan akan berlangsung pada 7 Ogos nanti. Perlawanan juga akan diundi mengikut kawasan untuk mengurangkan masa perjalanan penyokong bagi pusingan pertama dan pilihan pasukan akan ditentukan mengikut kedudukan akhir mereka dalam liga musim lalu.

Perlawanan akhir Piala Carabao ini, atau yang ke-58 dalam sejarah Piala Liga akan berlangsung di Stadium Wembley pada 25 Februari 2018.

Selain kejohanan Piala Liga, Carabao juga merupakan rakan penaja pakaian latihan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Chelsea.

Other posts by