Jurulatih baru Kemboja, Leonardo Vitorino terdesak mahu dapatkan kemenangan pertamanya bersama pasukan kebangsaan Kemboja.
Jurulatih berasal dari Brazil itu kini sedang berkerja keras untuk mempersiap anak buahnya bagi perlawanan persahabatan bertemu Indonesia di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada hari Khamis ini.
Vitorino dan pasukannya giat berlatih walaupun hujan turun dengan lebat pada hujung minggu lalu.
Bercakap kepada kepada media Kemboja, Khmer Times, Vitorino yang juga bekas pemain Botafogo berkata: “ Untuk hari pertama latihan , saya sangat gembira kerana mendapat semua pemain untuk melatih kebolehan teknikal mereka.”
Bekas jurulatih kelab Qatar, Al Gharafa itu baru dilantik sebagai jurulatih Kemboja tiga bulan yang lalu dan setakat ini pasukannya telah tewas 3-2 kepada India dan dibelasah 7-0 dalam perlawanan menentang Jordan. Vitorino berharap perlawanan ketiga ini akan memberikannya kemenangan.
“Kami tahu kami perlu bertambah baik dan kami tahu kami perlukan masa. Tetapi saya juga tahu kami perlu membuat yang terbaik dalam perlawanan persahabatan ini.”
Vitorino sebelum ini telah mengkritik keras keadaan bolasepak di Kemboja dan telah berjanji untuk mengubah senario bolasepak di negara berkenaan serta memberikan pemain muda lebih peluang.
“Kami sedang membentuk filosofi baru dan pasukan baru. Kami akan bertambah baik setiap masa. Semua pemain sedang berkerja keras dan akan berubah sedikit demi sedikit.”
Dua pemain Kemboja yang beraksi di luar negara, Thierry Chantha Bin yang beraksi bersama Krabi FC di liga divisyen 2 Thailand serta bintang sensasi mereka, Chan Vathanaka yang beraksi bersama Fujieda MYFC di liga divisyen 3 Jepun akan memperkuat pasukan bagi perlawanan berkenaan.
Other posts by Khairul Nizam